KUALA LUMPUR 9 Apr - Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkemungkinan mengambil peranan aktif dalam pemilikan aset sekiranya kerajaan meneruskan pembangunan loji janakuasa nuklear, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, loji nuklear memerlukan modal permulaan yang besar, namun ia diimbangi oleh jangka hayat operasi yang panjang antara 60 hingga 80 tahun serta harga bahan api yang stabil, sekali gus menghasilkan kos tenaga teraras (levelised cost of energy) antara yang terendah, kedua hanya kepada solar.
Kos permulaan bagi kapasiti satu gigawatt (GW) dianggarkan antara AS$4 bilion hingga AS$10 bilion, bersamaan kira-kira RM16 bilion hingga RM40 bilion pada kadar tukaran semasa.
“Tempoh pulangan modal purata bagi loji nuklear adalah sekitar 25 tahun.
“Sebagai perbandingan, loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 1GW menelan kos antara AS$800 juta hingga AS$850 juta, dengan jangka hayat operasi sekitar 25 hingga 30 tahun,” katanya dalam satu nota.
UOBKH Research berpandangan tenaga nuklear dilihat sebagai pengganti berpotensi apabila Malaysia menghentikan loji arang batu berasaskan beban asas.
Nuklear sebagai pengganti arang batu
Pada masa sama, negara sedang berdepan ‘trilema tenaga’ iaitu memastikan keselamatan bekalan, kemampuan kos dan kelestarian.
“Dengan mandat Malaysia untuk menamatkan loji arang batu menjelang 2050, tenaga nuklear dikaji secara mendalam memandangkan keupayaannya menghasilkan bekalan elektrik yang konsisten bagi menyokong kuasa beban asas pada kos berpatutan.
“Faktor kapasiti tinggi melebihi 90% (berbanding 75% bagi loji arang batu Malaysia dan 25% bagi solar) membolehkan nuklear melengkapi sumber tenaga boleh baharu yang bersifat tidak konsisten seperti solar.
“Ini akan membantu negara mencapai campuran penjanaan tenaga sebanyak 70% menjelang 2050,” katanya.
Menurut UOBKH Research, Malaysia berkemungkinan mempertimbangkan loji nuklear konvensional berbanding reaktor modular kecil (SMR).
Keutamaan ini didorong oleh kematangan teknologi dan rekod terbukti loji nuklear konvensional, katanya.
Kelebihan loji konvensional
Loji konvensional menawarkan sejarah keselamatan, kebolehpercayaan serta keupayaan penjanaan beban asas yang mantap, menjadikannya lebih sesuai untuk pelaksanaan pertama nuklear di sesebuah negara.
Kedua-dua loji nuklear konvensional dan SMR mempunyai jangka hayat operasi antara 60 hingga 80 tahun.
Ini turut disokong oleh kadar kehilangan keupayaan tidak dirancang yang rendah, dengan purata global sekitar 4% bagi tempoh 2022 hingga 2024.
SMR pula dilihat sebagai masa depan tenaga nuklear kerana kos lebih mampu milik, tempoh pembinaan lebih singkat, kapasiti fleksibel, kebolehskalaan serta pelbagai aplikasi.
Namun, kebanyakan konsep SMR masih di peringkat pembangunan lanjutan dengan potensi pengkomersialan dalam tempoh sedekad akan datang.
Setakat ini, hanya dua SMR beroperasi di dunia, masing-masing di Rusia dan China.
ASEAN masih `Tunggu dan Lihat'
Pada masa ini, kebanyakan negara ASEAN berada dalam Fasa 1 pembangunan infrastruktur nuklear, dengan tumpuan kepada pembaharuan peraturan, kajian kebolehlaksanaan, analisis impak alam sekitar serta penglibatan rakan teknikal antarabangsa.
Walaupun terdapat kemajuan, majoriti masih mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’, dengan memantau negara perintis bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai cabaran pelaksanaan seperti risiko iklim dan kekangan rantaian bekalan.
Vietnam dan Filipina dilihat sebagai peneraju serantau yang dijangka menetapkan penanda aras, sekali gus mempercepatkan penerimaan tenaga nuklear di kalangan negara ASEAN lain.
Namun, negara yang kekurangan tanah seperti Singapura dijangka kekal di pinggir, menunggu teknologi SMR mencapai tahap kematangan teknikal dan peraturan sebelum membuat komitmen besar.
“Konflik terkini di Timur Tengah serta penutupan Selat Hormuz telah mendedahkan Malaysia kepada turun naik harga bahan api fosil yang ketara, sekali gus memberi tekanan kepada negara,” katanya.
“Dalam konteks ini, tenaga nuklear menawarkan penyelesaian yang menarik kepada trilema tenaga melalui kebolehpercayaan beban asas, bekalan bahan api yang stabil dan berpatutan serta jejak karbon yang minimum.
Nuklear lindung nilai tenaga
“Secara asasnya, tenaga nuklear bertindak sebagai lindung nilai semula jadi terhadap ketidaktentuan harga bahan api karbon, disokong oleh kestabilan bekalan uranium global,” tambahnya.
Dalam nota berasingan, Kenanga Research berkata lonjakan kos bahan api akibat krisis Timur Tengah dijangka neutral kepada kebanyakan pemain industri berikutan mekanisme pemindahan kos bahan api yang telah tersedia bagi TNB dan Malakoff Corp Bhd.
“Kenaikan harga arang batu sebenarnya boleh memberi kelebihan kepada penjana kerana harga purata bergerak yang digunakan bagi pelaporan lazimnya kekal lebih tinggi berbanding kos sebenar arang batu dalam tempoh tersebut.
“Perbezaan masa ini menghasilkan keuntungan bersih atau margin bahan api positif bagi segmen penjanaan,” katanya.
Peluang besar tenaga solar
Selain tenaga nuklear, UOBKH Research menjangkakan kapasiti solar fotovolta negara akan melebihi 6.5GW antara 2026 hingga 2029 susulan pelaksanaan tender Large Scale Solar 6 serta projek di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat.
Dengan andaian kos pembinaan antara RM2 juta hingga RM3.5 juta bagi setiap megawatt, peluang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan dianggarkan mencecah RM13 bilion hingga RM23 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Selain itu, potensi sehingga 8GW loji janakuasa gas sedia ada dan baharu sebagai sebahagian pelan penyahkarbonan kerajaan turut menjadi pemangkin kepada sektor ini,” katanya. - DagangNews.com








