KUALA LUMPUR 24 Julai — Sektor teknologi perlu berwaspada untuk kemungkinan terjejas dengan risiko berlaku tempahan permintaan yang agak perlahan daripada jangkaan awal, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia juga antara kelemahan utama yang dikenal pasti boleh terjadi dalam masa terdekat selain isu ketidaktentuan tarif dikenakan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Tambahnya, sekiranya duti import sebanyak 25 peratus dikekalkan dan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025, sektor berkenaan diramal menyaksikan permintaan akhir yang lebih perlahan selepas ini.
"Kami menjangka penurunan kepada sektor teknologi berikutan kesan tarif AS yang membimbangkan syarikat-syarikat di Malaysia jika kadar masih tidak berubah," kata RHB Research dalam notanya.
Bagaimanapun katanya, sektor tersebut tetap berpotensi untuk menyaksikan pemulihan yang kekal teguh selepas firma berkenaan melakukan sesi lawatan tinjauan terus ke lapangan baru-baru ini.
Pemerhatian firma itu ke atas beberapa syarikat menunjukkan mereka mampu mengukuhkan jangkaan trajektori pendapatan yang lebih baik dan disokong oleh hasil perolehan teguh pada tahun ini.
RHB Research mendapati, prospek pertumbuhan turut menerima bimbingan secara positif daripada kebanyakan pemain yang merentas rantaian bekalan dan sektor itu diramal menunjukkan pemulihan.
"Penilaian kami adalah menarik, dengan sektor tersebut didagangkan di bawah 20 kali ganda perolehan hadapan iaitu jauh di bawah paras minimum sejarah selama tempoh lima tahun," katanya.
Ia turut melihat potensi untuk penarafan semula terhadap sektor teknologi apabila momentum pendapatan syarikat semakin meningkat dan masalah kebimbangan ketidaktentuan global semakin reda.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengekalkan penarafan 'overweight' dengan sektor ini diramal mampu mencatatkan pertumbuhan perolehan enam peratus pada FY25 dan 30 peratus pada FY26.
Malaysia Pacific Industries Berhad dan Unisem Malaysia Berhad kata firma penyelidikan tersebut dijangka meraih banyak manfaat terhadap pemulihan perniagaan cip serta permintaan luar negara.
"Cloudpoint Technology Berhad dan Coraza Integrated Technology Berhad pula diunjur menerima faedah besar trend pendigitalan serta perkhidmatan keselamatan siber," katanya. - DagangNews.com








