Teleport diyakini jana hasil RM60 juta setiap suku jika capai sasaran 2 juta bungkusan sehari - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teleport diyakini jana hasil RM60 juta setiap suku jika capai sasaran 2 juta bungkusan sehari - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Julai — Teleport diyakini mampu menyumbang antara RM50 juta sehingga RM60 juta dalam pendapatan setiap suku tahunannya, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, jumlah itu tidak mustahil dicatatkan anak syarikat logistik Capital A Berhad itu sekiranya dapat mencapai sasaran penghantaran sebanyak dua juta bungkusan sehari.

 

Tambahnya, volum kargo lebih kukuh, permintaan penghantaran e-dagang yang meningkat dan penggunaan rangkaian semakin baik telah menyokong pendapatan syarikat itu untuk dua suku berturut-turut.

 

Ia pernah mencapai pemulihan pada suku keempat tahun kewangan 2024 dengan keuntungan bersih RM2.2 juta tetapi berubah lemah pada suku pertama tahun kewangan 2025 apabila merekodkan laba RM400,000.

 

"Teleport terus memberikan prestasi baik dijana oleh pengaktifan semula armada AirAsia, pelancaran tiga kapal kargo dan perkongsian strategik dengan pihak ketiga," kata HLIB Research dalam notanya.

 

Pengurusan Teleport tambahnya, kekal yakin untuk mencapai sasaran dua juta bungkusan setiap hari menjelang akhir 2025, dengan pertumbuhan didorong pengembangan berterusan perkongsian operator.

 

Selain itu, kata firma berkenaan, penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah menyokong lagi momentum syarikat serta memberikan kesan positif bersih pada margin keseluruhan.

 

Katanya, walaupun kira-kira 15 peratus daripada pendapatan Teleport dalam dolar AS, sebahagian besar daripada kos operasinya, terutamanya pajakan ruang penerbangan, adalah dalam dolar AS.

 

"Kadar dolar AS bukan sahaja telah lemah sebanyak 5.2 peratus berbanding ringgit, malah 5.4 peratus rendah berbanding baht Thailand dan 2.8 peratus berbanding peso Filipina," kata HLIB Research lagi.

 

Sementara itu tambahnya, kebanyakan kargo dibawa Teleport dalam ruang pesawat AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga, dengan penetapan harga adalah didorong oleh faktor permintaan semasa.

 

Firma itu menambah, pertumbuhan kapasiti pada masa depan terutamanya daripada rakan kongsi pihak ketiga, yang telah berkembang 125 peratus pada suku pertama, akan membantu syarikat berkenaan.

 

Syarikat berkenaan yang menerajui perkhidmatan logistik udara serantau sejak ditubuhkan pada 2018, ketika ini beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Singapura dan China.

 

Ia juga menjalinkan perkongsian dengan 40 operator penerbangan komersial, termasuk VietJet Air dari Vietnam, Etihad Airways dan Emirates dari Emiriah Arab Bersatu, Garuda Indonesia dan Air New Zealand.

 

Berdasarkan situasi cukup positif tersebut, HLIB Research masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Capital A dengan harga sasaran yang juga tidak berubah kepada sebanyak RM1.68 sesaham.

 

Perkembangan itu berdasarkan penilaian tersirat sebanyak RM6.8 bilion untuk perniagaan penerbangannya dan mengandaikan RM2 bilion lagi untuk segmen bukan penerbangan. - DagangNews.com