Tekanan lebihan bekalan kekang prospek Petrokimia Malaysia, Maybank IB kekalkan penarafan negatif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan lebihan bekalan kekang prospek Petrokimia Malaysia, Maybank IB kekalkan penarafan negatif

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Jan - Prospek sektor petrokimia Malaysia dijangka kekal mencabar dalam tempoh sederhana apabila harga olefin dan polimer terus berada dalam aliran menurun secara struktur sehingga 2026, didorong oleh penambahan kapasiti global yang besar serta pemulihan permintaan yang sederhana, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan NEGATIF terhadap sektor itu, dengan jangkaan persekitaran lebihan bekalan global masih belum menunjukkan tanda-tanda penambahbaikan yang ketara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Menurut analisis terkini, penambahan kapasiti bersih global bagi olefin dan polimer bagi tempoh 2025 hingga 2028 dianggarkan mencecah 49 juta tan setahun secara kumulatif, jauh lebih tinggi berbanding 30 juta tan setahun dalam tempoh empat tahun sebelumnya.

 

"Tahun 2027 dijangka menjadi tahun kemuncak dengan rekod permulaan kapasiti baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB gelombang pertumbuhan bekalan ini berlaku dalam persekitaran pemulihan permintaan yang sederhana, khususnya di China dan pasaran hiliran utama lain, sekali gus mengehadkan keupayaan industri global untuk menyerap kapasiti baharu tersebut.

 

Sementara itu, langkah penutupan kapasiti yang diumumkan setakat ini dilihat tidak mencukupi untuk mengimbangi lebihan bekalan.

 

Di Korea Selatan, syarikat petrokimia dengan sokongan kerajaan merancang menutup antara 2.7 hingga 3.7 juta tan setahun kapasiti perengkahan nafta, bersamaan kira-kira 1.1 hingga 1.5 juta tan setahun pengeluaran etilena.

 

Bagaimanapun, jumlah itu masih jauh daripada anggaran 25 juta tan penutupan kapasiti global yang diperlukan untuk menyeimbangkan pasaran.

 

Di China, pelaksanaan pelan “anti-involusi” yang menyasarkan loji lama turut dijangka memberi kesan terhad, memandangkan hanya sekitar 9% kapasiti petrokimia negara itu akan berusia lebih 30 tahun menjelang 2029.

 

Susulan itu, kadar operasi loji dijangka kekal rendah, menyebabkan tekanan margin berterusan sepanjang rantaian nilai olefin dan polimer.

 

Sebarang pemulihan harga yang bermakna dijangka hanya berlaku selepas 2027 apabila kadar penambahan kapasiti baharu mula perlahan dan keseimbangan bekalan–permintaan beransur normal.

 

Dalam konteks tempatan, Maybank IB mengekalkan saranan JUAL terhadap Petronas Chemicals Group Bhd (PCHEM) dengan harga sasaran RM2.38, serta Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCTITAN) pada harga sasaran RM0.35.

 

PCHEM berdepan risiko penyusutan penilaian sekiranya syarikat terus mencatatkan kerugian suku tahunan, manakala spread polietilena–nafta yang sempit dijangka terus menekan keupayaan LCTITAN untuk kembali mencatatkan keuntungan dalam tempoh terdekat.  - DagangNews.com