KUALA LUMPUR 2 Sept – Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dijangka mencatat prestasi pendapatan yang sederhana dalam suku-suku akan datang berpunca tekanan berterusan daripada aktiviti hiliran dan kerugian daripada syarikat sekutu.
Menurut CIMB Research, walaupun pertumbuhan pengeluaran dan harga harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh menyokong sentimen positif jangka pendek, margin yang tertekan dalam aktiviti penapisan serta pendedahan kepada prestasi lemah syarikat sekutu luar negara dilihat mengehadkan potensi kenaikan keuntungan keseluruhan.
“KLK menjangkakan harga minyak sawit kekal kukuh dalam bulan-bulan akan datang, disokong oleh permintaan biodiesel yang mantap dari Indonesia, peningkatan daya saing harga minyak sawit serta bekalan soya global yang ketat,” kata firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun, CIMB menjangkakan margin penapisan akan terus tertekan, dengan pemulihan secara beransur-ansur hanya berlaku dalam segmen oleokimia.
“Kami menjangkakan keuntungan bersih teras KLK akan melemah pada suku keempat berakhir 30 September 2025 (4QFY25), disebabkan oleh harga MSM dan isirung sawit yang lebih rendah serta kerugian daripada syarikat sekutu,” jelasnya lagi.
CIMB Research mengekalkan saranan “HOLD” dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (sum-of-parts) sebanyak RM21.50, sambil menyatakan kaunter tersebut kekurangan pemangkin walaupun menawarkan hasil dividen sekitar 3.5%.
Sementara itu, TA Research turut mengingatkan tentang turun naik harga komoditi, dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan KLK menjangkakan harga minyak sawit kekal tidak menentu pada separuh kedua tahun kewangan 2025.
Firma itu menjelaskan bahawa harga soya global terus ditekan oleh lebihan bekalan dari Amerika Selatan, namun menekankan bahawa permintaan kukuh daripada industri biofuel menjadi faktor penyokong utama harga, sekali gus mengurangkan risiko kejatuhan harga dengan ketara.
TA Research turut mengekalkan saranan “HOLD”, sambil menaikkan harga sasarannya kepada RM21.21 daripada RM20.67 sebelumnya.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Research pula memberi amaran terhadap tekanan daripada prestasi lemah syarikat sekutu KLK, iaitu Synthomer.
“Bagi 4QFY25, kami menjangkakan KLK akan mencatat keuntungan suku-ke-suku yang lebih rendah memandangkan Synthomer terus melaporkan kerugian,” katanya.
Maybank menjangkakan bahagian kerugian KLK daripada Synthomer bakal mencecah RM64 juta, yang akan direkodkan dalam keputusan suku akan datang.
Firma itu menaikkan harga sasaran kepada RM20.40 daripada RM19.70, namun turut mengekalkan saranan “HOLD” terhadap saham KLK. - DagangNews.com








