KUALA LUMPUR 4 Julai — TechStore Berhad dikhuatiri berdepan dengan risiko besar sekiranya beberapa kontrak projek rel yang dikendalikannya lewat disiapkan mengikut jadual, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara tiga kelemahan paling utama yang boleh menjejaskan perolehan kumpulan penyedia rumusan keselamatan dan automasi teknologi maklumat itu jika berlaku.
Selain itu tambahnya, syarikat berkenaan turut dikenal pasti berisiko untuk gagal mengisi semula buka tempahan kerjanya serta masalah kelembapan dalam penerimaan kontrak sektor rel dan awam.
"Ketika ini, TechStore masih berupaya menawarkan keterlihatan pendapatan yang kukuh, disokong oleh buku tempahan sebanyak RM109.1 juta pada 31 Mac 2025," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Nilai tersebut menurut firma itu, adalah bersamaan dengan 1.75 kali hasil direkodkan pada FY24 dengan sekurang-kurangnya RM57.4 juta dijangka diperakui sepanjang suku kedua hingga keempat 2025.
Syarikat berkenaan juga katanya, aktif dalam meneroka keperluan pelanggan Malaysia dan Singapura yang membabitkan industri pengangkutan, hospitaliti, pendidikan, logistik serta perbankan.
Ini termasuk enam daripada tujuh subsistem utama melibatkan dua laluan transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang serta sistem transit pantas (RTS) di Johor.
Perkhidmatan ditawarkan TechStore merangkumi sistem kawalan dan arahan, sistem pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV), penggera kebakaran, serta sistem pembayaran dan operasi elektronik.
"Prestasinya stabil disokong dengan tender tambahan, termasuk kontrak penyelenggaraan baharu pada bulan April 2025 disusuli RM15.9 juta daripada Kementerian Dalam Negeri pada 9 Mei 2025," katanya.
Dengan hasil daripada terbitan tawaran awam permulaan (IPO) yang kukuh sebelum disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Februari 2025, operasi kumpulan itu masih dalam landasan tepat.
Di samping itu, RHB Research turut yakin dengan kunci kira-kira dan tenaga kerja TechStore yang dilihat lebih bersedia mengambil banyak projek bernilai tinggi dan kompleks dari segi teknikal.
Berdasarkan perkembangan semasa tersebut, firma berkenaan memberikan nilai wajar (FV) sebanyak 32 sen sesaham dengan menilai unjuran hasil kumpulan itu pada FY26. - DagangNews.com








