TCS mohon kelulusan terbitkan 153 juta saham baharu perkukuh pelan pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TCS mohon kelulusan terbitkan 153 juta saham baharu perkukuh pelan pertumbuhan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 JulaiTCS Group Holdings Berhad akan memohon kelulusan pemegang saham bagi melaksanakan penempatan persendirian membabitkan sebanyak 152,724,425 juta saham baharu syarikat.

 

Katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia mewakili 20% daripada jumlah saham terbitan, dalam usaha pengumpulan dana menyokong pelan pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan kewangan.

 

Cadangan tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan pada 5 Ogos 2026 di ibu pejabatnya di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor.

 

"Saham baharu itu akan diterbitkan kepada pelabur pihak ketiga yang dikenal pasti dengan harga ditentukan berdasarkan kepada diskaun tidak melebihi 20% daripada purata harga pasaran wajaran," kata TCS.

 

Kumpulan itu turut memohon kelulusan pemegang saham mengetepikan hak keutamaan berkanun mereka yang sedia ada di bawah Seksyen 85 Akta Syarikat 2016 serta Fasal 61 Perlembagaan Syarikat.

 

Langkah ini jelasnya, bagi membolehkan penerbitan saham baharu dilaksanakan, dan akan mempunyai kedudukan sama rata dengan saham sedia ada, kecuali tidak layak dividen, hak atau agihan tertentu.

TCS_DagangNews2026

 

Selain cadangan penempatan persendirian, TCS turut akan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi usul mempelbagaikan aktiviti utama kumpulan itu untuk merangkumi aktiviti pembangunan hartanah.

 

"Ia bertujuan membolehkan kumpulan dan anak-anak syarikatnya mengembangkan sumber pendapatan dengan menceburi aktif sektor pembangunan hartanah sebagai bidang perniagaan baharu," ujarnya.

 

Lembaga Pengarah berkata, kelulusan itu akan memberi kuasa bagi melaksanakan semua tindakan perlu merealisasikan cadangan kepelbagaian, termasuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

 

Bagi cadangan penempatan persendirian pula, mandat akan menentukan kaedah penggunaan hasil terbitan dan membuat pelarasan difikirkan sesuai, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Rekod pendeposit yang layak menghadiri dan mengundi ditetapkan pada 24 Julai 2026, manakala pekeliling bagi perincian dua cadangan tersebut diedarkan kepada pemegang saham bermula 15 Julai 2026.

 

Sekiranya usul diluluskan, TCS dijangka memperoleh fleksibiliti untuk memperkukuh modal kerja melalui penempatan persendirian, di samping mewujudkan pemacu dalam sektor baharu. - DagangNews.com