Tawaran Sunway terhadap IJM tidak boleh ditarik balik mengikut budi bicara syarikat - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran Sunway terhadap IJM tidak boleh ditarik balik mengikut budi bicara syarikat - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Jan - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas IJM Corporation Bhd yang berlaku kira-kira seminggu selepas Sunway Bhd mengemukakan tawaran umum sukarela bersyarat (RM11 bilion) menimbulkan persoalan daripada pasaran tentang masa depan tawaran Sunway itu.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), walaupun sentimen pasaran sedikit terganggu, tawaran Sunway tidak boleh ditarik balik mengikut budi bicara syarikat.

 

Ini kerana kata firma penyelidikan itu di bawah kod pengambilalihan dan penggabungan, sebarang pembatalan atau penarikan balik tawaran hanya boleh dilakukan dengan kebenaran bertulis daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

 

HLIB menjelaskan bahawa senario terburuk bagi tawaran ini ialah sama ada penarikan balik rasmi kepada SC atau kegagalan mendapatkan kelulusan pemegang saham melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). 

 

Sekiranya ini berlaku katanya, Sunway akan dilarang membuat sebarang tawaran pengambilalihan lain selama 12 bulan berikutnya.

 

“Dalam senario terbaik pula, kami menjangkakan kemungkinan kelewatan terhadap tarikh penyelesaian urus niaga sasaran, yang sebelum ini dijadualkan pada suku ketiga tahun kalendar 2026 (3QCY26), susulan kemungkinan proses ketelitian urus niaga (due diligence) lebih teliti berikutan siasatan SPRM,” kata HLIB dalam nota penyelidikan.

 

Walaupun wujud risiko tersebut, HLIB tidak mengubah unjuran pendapatan dan menegaskan kembali saranan “Terima” untuk pemegang saham IJM.

 

Bank itu menasihatkan pemegang saham untuk menerima tawaran Sunway kerana harga tawaran berada dalam margin munasabah berbanding harga sasaran sebelumnya iaitu RM3.40.

 

Selain itu, pemegang saham juga digalakkan untuk memasukkan pelaburan mereka ke dalam MergeCo, bagi memanfaatkan potensi kenaikan nilai apabila sinergi mula terhasil secara berperingkat, kata HLIB. - DagangNews.com