Tawaran awam Richtech Digital terlebih langgan sebanyak 245.42 kali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran awam Richtech Digital terlebih langgan sebanyak 245.42 kali

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Feb - Tawaran Awam Permulaan (IPO) Richtech Digital Bhd yang bakal disenarai di Pasaran ACE, terlebih langgan sebanyak 245.42 kali.

 

Penyedia perkhidmatan pengisian semula elektronik dan pembayaran bil itu berkata, ia menerima 24,237 permohonan untuk 2.49 bilion saham bernilai RM623.63 juta daripada orang ramai di Malaysia, menyebabkan kadar terlebih langganan tersebut.

 

"Bahagian Bumiputera menerima 12,601 permohonan untuk 1.06 bilion saham, dengan kadar terlebih langganan sebanyak 208.57 kali, manakala bahagian orang ramai pula menyaksikan 11,636 permohonan untuk 1.43 bilion saham, yang menghasilkan kadar terlebih langganan sebanyak 282.28 kali," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas RichTech, semua 1.55 bilion saham yang ditawarkan untuk permohonan oleh individu yang layak, telah habis dilanggan atau dipohon sepenuhnya.

 

KAF Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut.

 

Ia mengesahkan sebanyak 42.99 juta saham ditawarkan dan 25.3 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, telah habis dilanggan.

 

RichTech dijadualkan untuk membuat penyenaraian di Pasaran ACE pada 17 Februari 2025.

 

Pengarah Urusan RichTech, Lee Teik Keong berkata, permintaan yang kukuh menunjukkan keyakinan terhadap misi RichTech untuk memacu perubahan digital dalam landskap ekonomi digital Malaysia.

 

"Dana yang diperoleh membolehkan kami mengembangkan platform SRS kami, meningkatkan kehadiran pasaran dan memperkenalkan rumusan inovatif bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang," ujarnya. - DagangNews.com