Tawaran awam permulaan ES Sunlogy terlebih langgan sebanyak 60.13 kali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran awam permulaan ES Sunlogy terlebih langgan sebanyak 60.13 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Tawaran awam permulaan (IPO) ES Sunlogy Bhd terlebih langgan sebanyak 60.13 kali.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) dan rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) berkata, mereka menerima 23,723 permohonan untuk 2.14 bilion saham terbitan, bernilai RM641.8 juta, daripada orang ramai Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 60.13 kali.

 

Katanya, sebanyak 10,627 permohonan untuk 699.3 juta saham terbitan diterima bagi bahagian Bumiputera, mencerminkan kadar lebihan langganan sebanyak 38.96 kali.

 

"Bagi bahagian awam, sebanyak 13,096 permohonan untuk 1.44 bilion saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 81.29 kali.

 

"Sementara itu, 17.5 juta saham terbitan yang tersedia untuk permohonan oleh orang yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya," katanya.

 

Ejen penempatan, M & A Securities Sdn Bhd, mengesahkan kesemua 87.5 juta saham terbitan yang diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI, telah ditempatkan sepenuhnya.

 

Mereka juga mengesahkan, kesemua 70 juta saham sedia ada yang diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya.

 

Kumpulan itu menyasarkan hasil kasar sebanyak RM42 juta daripada IPO itu dengan RM14.1 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan dan pembinaan loji solar fotovoltaik berskala besar Selarong yang boleh menjana sehingga 29.99 megawatt.

 

Baki hasil sebanyak RM14 juta daripada IPO itu akan diperuntukkan untuk pembayaran balik sebahagian pinjaman bank, RM9.18 juta untuk keperluan modal kerja am dan RM720,000 untuk pemerolehan perisian perancangan sumber perusahaan. 

 

Baki dana IPO akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

M & A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.- DagangNews.com