KUALA LUMPUR 23 Dis — Poh Huat Resources Holdings Berhad terus terkesan akibat pelaksanaan tarif import perabot yang tinggi dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi berkenaan menyebabkan prestasi kewangan pada FY25 berada di bawah jangkaan, tidak termasuk akibat kerugian pertukaran asing sebanyak RM3.3 juta.
Tambahnya, keuntungan teras FY25 berjumlah RM16.6 juta, hanya merangkumi 92.5% daripada anggaran setahun penuh, terutamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah daripada pasaran AS.
"Untung teras kumpulan merosot 53.8% tahun ke tahun (YoY), manakala hasil susut 12.8% kepada RM414.8 juta, dengan prestasi lemah ini berpunca daripada penyusutan jualan," kata TA Securities.
Ia merujuk operasi Poh Huat di Malaysia dan Vietnam, yang terjejas susulan pelaksanaan tarif oleh kerajaan AS terhadap import perabot keluarannya sebanyak 19% berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Sejajar dengan perkembangan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) operasi Malaysia dan Vietnam jelas firma tersebut masing-masing merosot 55.6% kepada RM13.2 juta dan 50.5% kepada RM4.6 juta.
Bagaimanapun, dari segi suku tahunan, keuntungan teras 4QFY25 melonjak 238.4% kepada RM4.4 juta, walaupun hasil menurun 6.6% kepada RM87.1 juta, disokong oleh faktor kos jualan yang lebih rendah.
"Dari sudut pulangan kepada pemegang saham, Poh Huat mengisytiharkan dividen akhir 2.0 sen sesaham yang menjadikan jumlah setakat ini 8.0 sen sesaham, selain dividen khas 1.0 sen sesaham," katanya.
TA Securities turut menegaskan yang kunci kira-kira kumpulan tersebut adalah kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM296.3 juta atau RM1.06 sesaham, tanpa memiliki sebarang hutang.
Susulan keputusan yang lemah, ia menurunkan unjuran pendapatan bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 23.3% dan 16.4%, dengan mengambil kira kadar penggunaan kapasiti yang rendah di kilang.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut turut memperkenalkan unjuran FY28 dengan keuntungan bersih dianggarkan sebanyak RM39.0 juta, yang mencerminkan pertumbuhan pendapatan kira-kira 7.1%.
"Dari segi prospek, kami menjangka sektor perabot AS kekal tidak menentu akibat kesan tarifnya terhadap rantaian bekalan, namun potensi penurunan kadar faedah AS boleh membantu jualan," jelasnya.
Situasi itu tambah TA Securities, memulihkan aktiviti pasaran perumahan di negara berkenaan, yang seterusnya menyokong permintaan tinggi ke atas banyak perabot baharu termasuk dari Malaysia.
Dalam usaha mengurangkan risiko, Poh Huat dijangka terus mempelbagaikan asas pelanggan ke pasaran lain serta melaksanakan inisiatif kecekapan kos, termasuk automasi dan rasionalisasi tenaga kerja.
Selepas menyemak semula unjuran pendapatan dan mengalihkan tahun asas penilaian kumpulan itu kepada 2027, ia menurunkan harga sasaran (TP) kepada 93 sen daripada 96 sen sebelum ini.
"Ini berasaskan tujuh kali hasil CY27, tetapi susulan kelemahan harga saham kebelakangan ini, kami menaik taraf saranan daripada 'jual' kepada 'pegang'," tambah TA Securities. - DagangNews.com








