KUALA LUMPUR 31 Julai — IOI Corporation Berhad dijangka tidak akan mengalami sebarang kesan ketara berikutan pelaksanaan tarif import Amerika Syarikat (AS) bermula 1 Ogos 2025, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jaminan berkenaan disuarakan sendiri pihak pengurusan kumpulan perladangan itu dan menyifatkan tarif 25 peratus jika diteruskan hanya memberi impak yang amat minimum.
Syarikat berkenaan menambah, mereka juga tidak bimbang kerana cuma dua peratus daripada keseluruhan produk minyak sawit mentah (MSM) dan isi rung sawit (PKO) keluarannya dieksport ke AS selama ini.
"Sebaliknya, sebahagian besar iaitu kira-kira 90 peratus pula dihantar ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) sebagai produk yang diakui telah memenuhi peraturan blok tersebut," kata RHB Research dalam notanya.
Selain itu tambahnya, IOI Corporation berpotensi memperoleh hasil yang lebih baik pada tahun ini setelah ia menerima pengecualian perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada pihak kerajaan.
Langkah berkenaan merangkumi pendapatan daripada PKO untuk operasi oleo kimia kumpulan tersebut apabila produk itu diklasifikasikan semula di bawah kategori pengilang yang tidak dikenakan SST.
Dari segi dagangan pula kata RHB Research, dianggarkan lebih 90 peratus daripada volum syarikat itu yang terdiri MSM dan olein sawit, juga tidak tertakluk kepada skop pelaksanaan cukai berkenaan.
"Kami menjangkakan peningkatan kos tiga peratus untuk FY26 berikutan penguatkuasaan gaji minimum dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk buruh warga asing," katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas IOI Corporation dengan harga sasaran turut tidak berubah kepada RM4.30 sesaham. - DagangNews.com








