Tarif AS diyakini tidak beri kesan perniagaan kejuruteraan polimer Texchem, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif AS diyakini tidak beri kesan perniagaan kejuruteraan polimer Texchem, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Texchem Resources Berhad dijangka tidak terjejas dengan pelaksanaan tarif timbal balik 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) bermula pada 1 Ogos 2025, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan difahamkan tidak ada sebarang pendedahan langsung kepada situasi percukaian di AS dan masih lagi stabil daripada isu ketidaktentuan global.

 

Selain itu tambahnya, pengurusan melihat kesan gangguan permintaan yang minimum pada peringkat tarif tersebut sekiranya ada mana-mana produk keluarannya perlu dieksport ke negara berkenaan.

 

"Sebaliknya perniagaan kejuruteraan polimer terus melihat pemulihan yang didorong oleh peningkatan permintaan stabil dalam sektor pemacu cakera keras (HDD)," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Di samping itu katanya, sektor semikonduktor juga teguh dipacu pertumbuhan yang mantap daripada pelanggan perubatan dan sains hayat, serta sumbangan oleh faktor perniagaan margin tinggi baharu.

 

Dalam segmen perindustrian tambah firma itu, tumpuan kepada bahan kimia pukal dilihat membuahkan hasil positif yang terus membawa kepada keuntungan jualan dengan bahagian pasaran lebih tinggi.

 

Texchem kata RHB Research, turut memperkasakan perniagaan makanan dengan mempelbagaikan rantaian bekalannya ke Thailand pada FY24 dan untuk mengurangkan kesan langkah kawalan mata wang asing.

 

"Pihak pengurusan syarikat namun kekal berharap untuk situasi bertambah baik, manakala perniagaan restoran dijangka mendapat manfaat bermusim yang lebih positif pada masa hadapan," tambahnya.

 

Ini katanya termasuk rancangan untuk menambah baik menu, berkembang ke kawasan pinggir bandar yang lebih menguntungkan, menutup cawangan kurang berprestasi dan mengoptimumkan kecekapan operasi.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu perlu berwaspada risiko peningkatan kos input, jualan yang lebih lemah daripada jangkaan, turun naik harga bahan kimia dan kadar mata wang asing tidak menguntungkan.

 

Berdasarkan perkembangan tersebut, RHB Research masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Texchem dengan harga sasaran yang tidak berubah kepada RM1.58 sesaham. - DagangNews.com