KUALA LUMPUR 5 Ogos — Permintaan ke atas produk teknologi Malaysia diramal terjejas berikutan pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) mulai 7 Ogos ini, kata CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun kadarnya diturunkan kepada 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum itu, permintaan diramal perlahan susulan kenaikan harga tidak dapat dielakkan.
Produk berkenaan akan menjadi lebih mahal di pasaran AS kerana selama ini hanya dikenakan tarif asas sedia ada 10 peratus dan dijangka memberi kesan kepada sebahagian besar syarikat Malaysia.
"Kami menganggarkan eksport Malaysia yang terdedah kepada tarif baharu ini akan mengakibatkan penyusutan ketara daripada 12.4 peratus kepada 6.7 peratus," kata CGSI dalam nota kajiannya.
Tambah firma berkenaan, kemerosotan tersebut akan teruk dialami produk elektrik dan elektronik yang merupakan eksport utama negara ini ke AS sebelum tarif timbal balik itu mula diselaraskan.
Satu lagi risiko sektor teknologi katanya, ialah potensi pelaksanaan Seksyen 232 tarif ke atas semikonduktor, yang kini menjalani siasatan dengan keputusan akhir dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Dalam sektor sarung tangan, tarif baharu memberi kelebihan harga kepada Malaysia untuk menawarkan produk lebih murah berbanding China yang dikenakan kadar terlalu tinggi kira-kira 80 peratus.
"Bagaimanapun, kami memberi amaran kemungkinan pembuat sarung tangan China bertindak menurunkan harga dengan lebihan inventori mereka dihantar ke pasaran bukan AS terlebih dahulu," kata CGSI.
Tindakan tersebut tambah firma itu, diramal membentuk sebanyak 75 peratus daripada penggunaan sarung tangan global, sebelum produk berkenaan dieksport semula ke AS dengan harga yang rendah.
Bagi sektor perladangan, ia melihat impak minimum, kerana hanya 2.3 peratus daripada eksport minyak sawit dijual ke AS pada 2024 dengan tarif Malaysia pula sama dengan Indonesia. - DagangNews.com








