Tarif baharu AS 19% jejaskan kelebihan daya saing sektor sarung tangan getah, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif baharu AS 19% jejaskan kelebihan daya saing sektor sarung tangan getah, kata TA Securities

Gambar hiasan
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Ogos — Penurunan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada 19 peratus dibimbangi boleh menjejaskan kelebihan daya saing sektor sarung tangan getah Malaysia, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, pelaksanaan tarif baharu itu bermula pada hari ini turut mengurangkan potensi pengeluar tempatan berbanding rakan setara mereka dari negara-negara lain.

 

Pelanggan AS katanya, berkemungkinan akan menolak sebarang kenaikan harga oleh pengeluar sarung tangan disebabkan kesan daripada tarif walaupun berlaku lebihan bekalan di pasaran global.

 

 

 

 

 

 

"Kami agak negatif terhadap kemas kini tarif kerana kelebihan harga produk Malaysia berkurangan ketara berbanding beberapa negara jiran Asia Tenggara lain," kata TA Securities dalam notanya.

 

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan yang Thailand, Indonesia dan Kemboja menikmati tarif sepadan dengan kadar untuk Malaysia iaitu 19%, manakala Vietnam pula dikenakan duti 20%.

 

Mengulas lanjut, firma tersebut menambah, mujur kilang-kilang sarung tangan getah di Malaysia, yang merupakan pengeksport terbesar di dunia, masih beroperasi jauh di bawah kapasiti penuh.

 

Bagaimanapun TA Securities menjangkakan bahagian pasaran Malaysia akan kekal sebanyak 60% pada tahun ini kerana kadar tarif timbal balik AS itu untuk semua negara pesaing adalah hampir sama.

 

"Kami sebaliknya meramalkan pelanggan akan menolak dari segi persamaan kos kerana lebihan bekalan adalah kekal manakala kadar pengeluaran di Malaysia kurang daripada paras optimum," katanya.

 

Sebagai contoh tambah firma berkenaan, Hartalega Holdings Berhad cuma mencatatkan 69% dan Top Glove Corporation Berhad pada 61%, berdasarkan angka diterbitkan pada suku tahunan terakhir.

 

Selain itu, pengeluar sarung tangan yang besar di China seperti Intco dan BlueSail akan terus berkembang ke Vietnam, Indonesia dan Kemboja, untuk menghasilkan bekalan yang lebih banyak.

 

TA Securities namun berkata, pihaknya mengambil perhatian bahawa harga produk Intco di Vietnam dijangka sekurang-kurangnya 15% lebih tinggi daripada kilang pembuatan asal mereka di China.

 

"Kami percaya ketidaktentuan perdagangan belum berakhir kerana rundingan tarif antara China dan AS masih berjalan, selain mungkin China memperoleh kadar tarif yang lebih baik," katanya.

 

Setakat ini tambah firma itu, penggunaan sarung tangan getah di AS dianggarkan sebanyak 132 bilion keping pada 2025 dengan negara berkenaan membentuk 35 peratus permintaan bekalan global.

 

 

 

 

 

 

Malaysia menguasai 60% pasaran AS pada separuh pertama tahun ini berbanding hanya 44% pada Disember 2024 dengan Hartalega paling tinggi iaitu 57% diikuti Kossan, Supermax dan Top Glove.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, TA Securities mengekalkan penarafan 'underweight' ke atas sektor sarung tangan getah dengan unjuran lebihan bekalan tiga tahun lagi. - DagangNews.com