KUALA LUMPUR 16 Dis - Tindakan tegas kerajaan terhadap amalan lebihan muatan kenderaan terbukti berkesan apabila kadar pengangkutan tidak menunjukkan sebarang peningkatan ketara sepanjang lapan minggu lalu, menurut Persekutuan Pengangkutan Lori Malaysia (MTF).
Persekutuan itu berkata, pengusaha pengangkutan yang secara konsisten mematuhi had muatan sah terus mengekalkan kadar caj sedia ada, manakala bagi pengusaha yang sebelum ini bergantung kepada lebihan muatan, harga bagi setiap perjalanan kekal tidak berubah, namun kos per tan kini mencerminkan kadar yang sah dan mematuhi undang-undang.
“Apabila lori tidak lagi membawa lebihan muatan, banyak syarikat, ahli kami mencatat peningkatan kecekapan operasi, selain aliran pergerakan kenderaan, pusing ganti dan penjadualan yang lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan.
MTF, yang dianggotai 10 persatuan negeri di seluruh negara dan mewakili kira-kira 1,800 syarikat, turut memberitahu wujud peralihan ketara ke arah struktur industri pengangkutan yang lebih profesional dan mampan.
Kenyataan itu bercanggah dengan kebimbangan awal yang disuarakan oleh pengeluar dan syarikat pembinaan mengenai kemungkinan peningkatan kos, susulan langkah kerajaan memperketatkan penguatkuasaan terhadap lebihan muatan kenderaan yang dikaitkan dengan pelbagai kemalangan maut dan insiden jalan raya.
Sejak operasi penguatkuasaan seluruh negara dilancarkan pada 14 Oktober lalu, pihak berkuasa telah mengeluarkan ribuan saman serta menyita puluhan kenderaan komersial. Walaupun terdapat rayuan agar kelonggaran diberikan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan bahawa tindakan tegas tersebut akan diteruskan.
Dalam pada itu, MTF menegaskan tiada kekurangan kapasiti pengangkutan di pasaran ketika ini, dengan bekalan kenderaan kekal mencukupi untuk memenuhi permintaan industri.
“Kami mengakui bahawa dalam dua minggu pertama pelaksanaan penguatkuasaan, industri melalui fasa penyesuaian.
“Namun, apabila pengusaha, penghantar dan pelanggan semakin memahami keperluan yang ditetapkan, operasi secara keseluruhan kini kembali stabil,” katanya.
MTF turut berharap kerajaan terus bertegas dalam soal lebihan muatan dan menggesa semua pengusaha yang masih berbuat demikian supaya segera menghentikan amalan tersebut serta beralih sepenuhnya kepada operasi yang selamat, patuh dan sah di sisi undang-undang. - DagangNews.com








