KUALA LUMPUR 29 Julai — Pemansuhan tol menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja besar dari segi penyelenggaraan berbanding penangguhannya, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, langkah itu tidak mudah dilaksanakan dan kaedah penundaan dilihat lebih praktikal serta realistik dengan penjimatannya boleh disalurkan kepada rakyat yang tidak menggunakan tol.
Tambahnya, penghapusan langsung tol lebuh raya juga sukar direalisasikan kerana sekiranya berlaku, kerajaan pula mesti memastikan ia mencari dana yang besar untuk kerja penyelenggaraan selepas itu.
“Jadi pandangan saya sekarang kita tidak perlu mansuhkan, cuma kalau tempoh syarikat (konsesi) ini mencapai keuntungan, kadar tol yang dikatakan membebankan itu mungkin boleh diturunkan,” katanya.
Alexander menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan daripada Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional–Besut) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen pembangkang dari Terengganu itu membangkitkan isu pemansuhan tol lebuh raya yang pernah dijanjikan Pakatan Harapan dalam kempen politik semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.
Dalam pada itu, Alexander berkata, langkah kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya dijangka memberi manfaat kepada hampir sejuta pengguna kenderaan di laluan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan juga membayar pampasan sebanyak RM568.92 juta kepada syarikat-syarikat konsesi terbabit kerana penundaan tersebut yang sepatutnya perlu dilaksanakan pada tahun ini.
“Kita berharap ini sedikit sebanyak dapat meredakan kos sara hidup rakyat terutama bagi pengguna kerap menggunakan lebuh raya dalam urusan harian dan berulang alik ke tempat kerja,” katanya.
Pada 23 Julai 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan tol di sejumlah lebuh raya di Semenanjung bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
Antara yang terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2), Lebuhraya Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar-Butterworth (LLB). - DagangNews.com








