KUALA LUMPUR 14 Ogos – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mencadangkan pelaksanaan program sukuk subordinat Tier 2 bernilai nominal sehingga RM1 bilion berasaskan prinsip syariah wakalah bi al-istithmar.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Takaful Malaysia berkata, program berkenaan – dikenali sebagai Sukuk Wakalah Programme – akan digunakan untuk menerbitkan sukuk subordinat Tier 2 dengan tempoh matang tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh terbitan.
“Tier 2 Sukuk Wakalah yang diterbitkan di bawah Sukuk Wakalah Programme ini bertujuan untuk layak sebagai modal Tier 2 Takaful Malaysia di bawah Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko bagi Pengendali Takaful yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada 17 Disember 2018.
"Rangka kerja tersebut boleh dipinda, disemak atau diganti dari semasa ke semasa," kata syarikat tersebut.
Takaful Malaysia berkata pihaknya telah mencatat maklumat yang diperlukan dan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini, selaras dengan garis panduan produk pasaran modal tidak tersenarai di bawah Lodge and Launch Framework.
Syarikat itu juga memaklumkan ia telah diberikan penarafan kekuatan kewangan takaful AA2 oleh RAM Rating Services Bhd, manakala program sukuk berkenaan memperoleh penarafan kredit AA3.
“Hasil daripada penerbitan Tier 2 Sukuk Wakalah akan digunakan bagi modal kerja syarikat, tujuan korporat, dan untuk membiayai semula Tier 2 Sukuk Wakalah atau instrumen modal patuh syariah lain.
“Bagi mengelakkan keraguan, penggunaan hasil hendaklah sentiasa untuk tujuan patuh syariah,” jelas syarikat itu.
CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal dan pengurus utama tunggal bagi Sukuk Wakalah Programme ini, manakala CIMB Islamic Bank Bhd pula menjadi penasihat syariah. - DagangNews.com








