KUALA LUMPUR 15 Julai — Tafi Industries Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan selepas memperoleh kontrak yang bernilai RM135 juta bagi projek di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.
Kumpulan tersebut berkata, tender itu melibatkan pembangunan bercampur yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat berkenaan sendiri sehingga tahun kewangan 2030 (FY30).
Anak syarikat milik penuhnya, Tafi Home & Office Sdn Bhd (THOSB) sudah menerima dan bersetuju dengan surat penganugerahan (LOA) daripada Armani KPF2 Development Sdn Bhd pada 15 Julai 2026.
"Kontrak terbaharu itu melibatkan kerja-kerja pembinaan, penyiapan dan penyelenggaraan bangunan utama serta kerja-kerja berkaitan bagi komponen struktur dan seni bina," maklum Tafi kepada bursa.
Tambahnya lagi, projek berkenaan turut membabitkan pembangunan sebuah bangunan perniagaan bercampur setinggi 37 tingkat dengan antara komponen utamanya ialah 498 unit pangsapuri perkhidmatan.
Selain itu, ia mengandungi sejumlah 500 unit SOHO, 17 unit kedai pejabat, 350 unit ruang kedai, dua unit ruang kedai di tingkat 36, podium parkir lapan tingkat serta pelbagai kemudahan seperti dewan serba guna.

Tafi berkata kerja pembinaan dijadual bermula pada 21 Julai 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 42 bulan, manakala penyediaan akaun akhir kontrak dijangka disiapkan dalam tempoh 15 bulan.
"Tender projek berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset ketara bersih (NTA) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 hingga 30 Jun 2030," jelasnya.
Bagaimanapun ujarnya, ia menjelaskan kontrak tersebut tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar syarikat atau pegangan saham pemegang saham utama kumpulan.
Pada masa sama, kontrak tersebut diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT), dengan mandat majoriti pemegang saham Tafi sudah pun diperoleh pada 20 November 2025.
Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat kerana menyediakan hasil stabil sepanjang tempoh pelaksanaan projek hingga 2030. - DagangNews.com








