Tabung Haji tingkatkan pegangan dalam D&O Green Technologies | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tabung Haji tingkatkan pegangan dalam D&O Green Technologies

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Dis  – Lembaga Tabung Haji muncul sebagai antara pemegang saham besar dalam pengeluar diod pemancar cahaya (LED) automotif, D&O Green Technologies Bhd, selepas meningkatkan pegangan sahamnya melepasi paras 5%.

 

Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, Tabung Haji membeli dua juta saham atau bersamaan pegangan 0.16% pada 26 Disember lalu, sekali gus menaikkan pegangan keseluruhannya dalam D&O kepada 5.034%.

 

Dengan langkah itu, dana haji berkenaan kini diklasifikasikan sebagai pemegang saham besar dalam syarikat tersebut.

 

Harga pemerolehan saham berkenaan tidak didedahkan. Namun, berdasarkan harga penutupan saham D&O pada 26 Disember iaitu 76 sen, nilai transaksi dianggarkan sekitar RM1.52 juta.

 

Berdasarkan laporan tahunan terkini D&O, pemegang saham besar lain syarikat itu termasuk Pengerusi Mega First Corp Bhd, Goh Nan Kioh dengan pegangan 30.36%, Pengerusi bukan eksekutif D&O, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim (8.075%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (8.024%), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (6.536%) serta Aberdeen Group Plc (5.351%).

 

Dari segi prestasi kewangan, D&O mencatatkan kerugian suku tahunan terbesar sebanyak RM169.09 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), terjejas oleh peruntukan pelupusan inventori sekali sahaja berjumlah RM250.46 juta.

 

Menurut syarikat itu, langkah pelupusan inventori tersebut dibuat bagi menyelaraskan profil inventori dengan peralihan strategik ke arah penyelesaian berfungsi dan berkerumitan lebih tinggi.

 

Pada suku sama tahun sebelumnya, syarikat merekodkan keuntungan bersih RM18.25 juta.

 

Hasil suku tahunan D&O turut susut 6.1% kepada RM256.52 juta berbanding RM273.25 juta sebelum ini, terutamanya disebabkan pelarasan sementara pesanan pelanggan susulan penyusunan semula jadual pengeluaran oleh pengeluar automotif global.

 

Saham D&O ditutup rendah empat sen atau 5.26% kepada 72 sen pada Isnin, paras terendah sejak 2021, sekali gus memberikan nilai pasaran syarikat sekitar RM892.43 juta.

 

Sejak pengumuman keputusan kewangan 3QFY2025 pada 25 November lalu, harga saham D&O telah merosot sebanyak 33.9%. - DagangNews.com