KUALA LUMPUR 6 Mac - Segmen frekuensi radio (RF) diramal terus menjadi penyumbang utama kepada hasil Inari Amertron Bhd, kata TA Securities.
Katanya, disebalik kelemahan yang dihadapi ketika ini, pengurusan kumpulan percaya segemen RF kekal utuh.
"Selain itu, pihak pengurusan berharap pelancaran telefon pintar berharga rendah akan membantu meningkatkan pemuatan dan berpotensi mencapai kadar penggunaan 70% dalam 2HFY25.
"Dari segi pecahan jualan, 1HFY25 kekal diterajui oleh RF pada 66%. Ini diikuti oleh optoelektronik pada 28% dan generik pada 6%," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM89.97 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM86.81 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil turun 15.7% kepada RM348.97 juta daripada RM414.1 juta sebelumnya dan penyusutan itu disebabkan pemuatan volum produk yang agak rendah pada suku semasa.
TA Securities berkata, pengurusan mendedahkan, kumpulan itu kini sedang mengusahakan perjanjian penggabungan dan pengambilalihan utama.
Bagaimanapun, pihak pengurusan tidak mendedahkan butiran lanjut kerana sensitiviti perjanjian itu.
Sementara itu, rizab tunai yang kukuh juga akan digunakan untuk pengembangan loji di Malaysia, China dan Filipina.
Secara keseluruhannya, kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pembuatan sedia ada daripada 2.2 juta kaki persegi kepada 4 juta kaki persegi dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Pihak pengurusan menyatakan, pasaran China pada masa ini sangat mencabar disebabkan perang harga. Bagaimanapun, pihak pengurusan percaya prospek jangka panjang bagi sektor semikonduktor di China kekal cerah," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.10 sesaham. - DagangNews.com








