KUALA LUMPUR 5 Feb – TA Securities memulakan liputan ke atas ICT Zone Asia Berhad dengan saranan 'beli' dan nilai wajar 27 sen sesaham berdasarkan unjuran 11 kali nisbah harga kepada hasil CY26.
Firma penyelidikan tersebut turut menyasarkan kumpulan penyedia rumusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu mampu mencatatkan keuntungan bersih mencecah sebanyak RM13.8 juta bagi FY26.
Ia juga menjangkakan pertumbuhan secara kukuh keuntungan syarikat yang ditubuhkan pada 2019 itu, berasaskan tempahan terkini bernilai RM312.3 juta dan potensi pengembangan pesanan berterusan.
"Kami meramalkan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi FY27 dan FY28 masing-masing RM20.0 juta dan RM23.6 juta, mencerminkan pertumbuhan tahunan 45.4% dan 17.9%," kata TA Securities dalam notanya.
Jelas firma berkenaan, faktor penyumbang pertumbuhan ICT Zone Asia termasuk sasaran pengisian tempahan tahunan yang diunjur stabil antara RM200 juta hingga RM300 juta bagi FY26 hingga FY28.
Di samping itu, ia menjangka margin bersih secara purata 10% sepanjang tempoh FY26 hingga FY28, dijana model pembiayaan teknologi (TechFin) berulang dengan pendapatan daripada pelbagai kontrak.
Menurut TA Securities, kumpulan berkenaan antara yang sering disenaraikan oleh ramai pelanggan berpotensi khususnya menerusi banyak prospek projek kerajaan dan klien sektor ICT strategik.
"ICT Zone Asia kelazimannya dibandingkan dengan VSTECS Berhad, namun diberi diskaun 20% kerana modal pasaran syarikat ini lebih kecil, dan tahap hutang pula lebih tinggi," kata firma tersebut.
Dari sudut pasaran, VSTECS selaku pengedar ICT serantau, diketahui memiliki rekod operasi lebih panjang, saiz pasaran besar dan profil risiko rendah, dengan diniagakan pada penilaian yang amat tinggi.
Bagaimanapun ICT Zone Asia berada pada fasa pertumbuhan, dengan tempahan kukuh dan potensi peningkatan margin, tetapi wajar dinilai pada diskaun kerana saiznya lebih kecil dengan kadar gear tinggi.
Selain pertumbuhan positif jelas TA Securities, syarikat itu merancang untuk mengagihkan sehingga 20% daripada keuntungan bersih tahunan, dan menambah komponen pendapatan bagi pemegang saham.
"Dengan potensi kenaikan 42.1% bagi FY26, kami menggalakkan pelabur membeli saham kumpulan ini sebagai peluang pertumbuhan dan jaminan dividen," tambah firma tersebut. - DagangNews.com








