TA Research kekalkan saranan BELI saham PETRONAS Gas meskipun butiran tarif RP3 belum diumumkan sepenuhnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Research kekalkan saranan BELI saham PETRONAS Gas meskipun butiran tarif RP3 belum diumumkan sepenuhnya

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Dis – PETRONAS Gas Bhd (PETGAS) dijangka terus mencatat pertumbuhan pendapatan terkawal yang mampan di bawah Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3), meskipun butiran utama berkaitan komponen tarif masih belum diumumkan sepenuhnya, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengumuman terkini berhubung semakan tarif didapati belum memperincikan dua elemen kritikal iaitu kadar pulangan yang dibenarkan serta unjuran regulated asset base (RAB), yang lazimnya menjadi penentu utama kepada tahap pendapatan terkawal PETGAS sepanjang tempoh kawal selia.

 

“Walaupun kadar tarif yang secara keseluruhannya lebih tinggi kelihatan positif, kami masih menunggu penjelasan lanjut bagi mengenal pasti pemacu sebenar di sebalik peningkatan tersebut,” katanya dalam nota penyeledikan hari ini.

 

PETGAS mengumumkan kelulusan tarif baharu bagi perkhidmatan pengangkutan gas dan regasifikasi di bawah RP3, yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.

 

Menurut TA Research, secara keseluruhan, tarif asas RP3 didapati secara umumnya lebih tinggi berbanding RP2 bagi tempoh 2023 hingga 2025.

 

Kenaikan paling ketara direkodkan oleh saluran paip Peninsular Gas Utilisation (PGU) dengan peningkatan sebanyak 12.5%, diikuti terminal regasifikasi RGT Sungai Udang (RGTSU) yang meningkat 2.5%.

 

Bagaimanapun, kenaikan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh penurunan kecil tarif bagi C-Tariff yang susut 0.4% serta tarif RGT Pengerang (RGTP) yang menurun 0.7%.

 

Bagi tahun kewangan 2026 (FY26), tarif dibenarkan juga menunjukkan trend peningkatan berbanding FY25. Tarif PGU meningkat sebanyak 14.8%, manakala RGTSU mencatat kenaikan 2.4%. Sebaliknya, C-Tariff dan RGTP masing-masing merekodkan penurunan marginal sebanyak 1.1% dan 1.5%.

 

Pelarasan tarif di bawah RP3 ini mencerminkan rangka kerja kawal selia berasaskan kos dan pulangan yang bertujuan memastikan kemampanan infrastruktur gas negara, di samping menyokong keperluan pelaburan jangka panjang PETGAS sebagai pengendali utama rangkaian bekalan gas dan regasifikasi di Malaysia.

 

TA Research berkata, secara keseluruhan, RAB PETGAS dijangka terus berkembang di bawah RP3, disokong oleh perbelanjaan modal terkawal (capex) yang berterusan.

 

Selain itu, terdapat potensi peningkatan capex bagi segmen Gas Utiliti (PGU) susulan keperluan mengekalkan integriti aset selepas insiden kebakaran saluran paip yang berlaku pada April 2025.

 

Perkembangan ini dilihat mampu menyokong pertumbuhan pendapatan terkawal PETGAS dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

Untuk rekod, perniagaan terkawal menyumbang kira-kira 52% daripada keuntungan kasar kumpulan pada tahun kewangan 2023 dan 2024.

 

Sehubungan itu dari segi penilaian, saranan Beli ke atas saham PETGAS dikekalkan dengan harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) tidak berubah pada RM20.58 sesaham.

 

Harga sasaran itu membayangkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan sebanyak 19 kali bagi FY26, hampir kepada purata sejarah 10 tahun syarikat pada 20 kali.

 

PETGAS turut dilihat berada pada kedudukan strategik sebagai salah satu proksi huluan utama kepada peralihan tenaga daripada arang batu kepada gas, selain mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pembangunan pusat data.

 

Sebagai pemilik dan pengendali infrastruktur bekalan gas terbesar di Malaysia, PETGAS terus disokong oleh kontrak jangka panjang yang stabil serta asas perniagaan terkawal yang kukuh.

 

Ini membolehkan syarikat menawarkan hasil dividen yang menarik dianggarkan antara 4.4% hingga 5.2% sepanjang tempoh unjuran. - DagangNews.com