T7 Global peroleh lanjutan enam bulan kerja luar pesisir daripada Hibiscus Petroleum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global peroleh lanjutan enam bulan kerja luar pesisir daripada Hibiscus Petroleum

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — T7 Global Berhad menerusi anak syarikatnya, T7 Global Bhd Tanjung Offshore Services Sdn Bhd berjaya memperoleh lanjutan kontrak daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd.

 

Penyambungan tempoh itu adalah untuk enam bulan, bermula dari 19 Jun 2025 sehingga 18 Disember 2025 untuk terus menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM).

 

Tambah kumpulan perkhidmatan minyak dan gas itu, lanjutan masa kerja-kerja berkenaan bagi projek pengeluaran Hibiscus di blok PM3-CAA dalam Kawasan Pengaturan Komersial Malaysia-Vietnam.

 

"Penganugerahan kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas jumlah modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar," kata T7 Global dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan berkenaan pertama kali dianugerahkan pekerjaan awal selama tempoh enam bulan pada Januari 2025 untuk kerja-kerja MCM luar pesisir melibatkan aset pengeluaran Hibiscus di blok tersebut.

 

PM3-CAA terletak di kawasan bertindih antara Malaysia dan Vietnam, manakala Hibiscus memegang 35 peratus pegangan pemilikan langsung dalam blok berkenaan, dengan tempoh lesen sah sehingga 2027.

 

Sementara itu, T7 Global menyatakan, walaupun kontrak berkenaan membawa risiko pelaksanaan biasa, mereka sudah berada pada kedudukan yang baik untuk berupaya menguruskan cabaran projek tersebut.

 

"Ini termasuk ketersediaan tenaga kerja, peralatan dan pematuhan kawal selia, memandangkan rekod prestasi dan keupayaan teknikal kami dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas huluan," katanya.

 

Lembaga Pengarah juga katanya, menjangkakan bahawa anugerah itu menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com