Syed Feizal lepaskan jawatan CEO MSM Malaysia, COO Hasni Ahmad pangku tugas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syed Feizal lepaskan jawatan CEO MSM Malaysia, COO Hasni Ahmad pangku tugas

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 3 Julai – MSM Malaysia Holdings Bhd, syarikat penapisan gula milik pengeluar minyak sawit mentah FGV Holdings Bhd mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Syed Feizal Syed Mohammad.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Syed Feizal, 60, melepaskan jawatan tersebut berkuat kuasa 3 Julai 2025 bagi mengejar kepentingan peribadi.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (COO) MSM, Hasni Ahmad, 57, akan memangku tugas CEO Kumpulan dan akan menjalankan tugas serta tanggungjawab jawatan itu serta-merta sehingga diberitahu kelak.

 

Syed Feizal dilantik sebagai CEO Kumpulan pada Februari 2021 selepas lembaga pengarah menamatkan perkhidmatan CEO terdahulu, Datuk Khairil Anuar Aziz, berkuat kuasa 5 Oktober 2020.

 

 

msm

 

 

Penamatan itu dibuat selepas penjelasan Khairil berhubung ketidakteraturan pelupusan inventori bernilai RM36.6 juta di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd dalam penyata kewangan tahun kewangan 2019 yang didapati tidak memuaskan.

 

Selepas mencatatkan kerugian bersih selama dua tahun berturut-turut, MSM kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM31.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), berbanding kerugian bersih RM49.88 juta pada FY2023.

 

Namun begitu, prestasi suku pertama tahun kewangan 2025 menyaksikan keuntungan bersih MSM menjunam 91% kepada RM3.73 juta, berbanding RM41.71 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan margin keuntungan lebih rendah dan penggunaan kapasiti yang berkurangan, meskipun kos pengeluaran turut menurun.

 

Pendapatan suku tersebut turut merosot sebanyak 17.3% tahun ke tahun kepada RM749.68 juta daripada RM906.61 juta, dipengaruhi oleh jumlah jualan dan harga jualan purata yang lebih rendah.

 

Saham MSM ditutup meningkat tiga sen atau 2.9% kepada RM1.05 pada Rabu, menjadikan permodalan pasaran syarikat sebanyak RM738.1 juta. Setakat ini, saham MSM telah susut lebih 15% sejak awal tahun. - DagangNews.com