KUALA LUMPUR 26 Mac - Kerajaan mengumumkan semua pengguna mudah alih akan menerima minimum 5GB data percuma pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tawaran data percuma, terpakai untuk pengguna prabayar dan pascabayar, akan tersedia sekurang-kurangnya 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penyedia telekomunikasi yang mengambil bahagian.
Ini termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX.
‘Inisiatif kementerian komunikasi ini, dengan kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan melalui komunikasi dalam talian semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Ditanya jumlah kos bagi pelaksanaan insentif berkenaan, Fahmi berkata insentif rebat RAHMAH yang kali pertama diusahakan Kementerian Komunikasi itu ditanggung sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit.
“Tak… subsidi dan ia (insentif) bukan ditanggung kerajaan,” katanya sambil menambah jumlah akaun telekomunikasi yang berdaftar di Malaysia ialah sekitar 45 juta.
Maklumat lanjut mengenai insentif rebat RAHMAH Aidilfitri itu akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi. - DagangNews.com








