Syarikat multinasional Jepun labur RM500 juta perbesar pusat beli-belah di Seremban 2 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat multinasional Jepun labur RM500 juta perbesar pusat beli-belah di Seremban 2

Foto ihsan Aeon
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Julai — Aeon Co (M) Berhad melabur hampir RM500 juta untuk membina bangunan tambahan kepada Aeon Mall di Seremban 2 sebagai sebahagian daripada rancangan pembesaran.

 

Projek itu akan menjadikan kompleks tersebut sebagai yang kedua paling besar di negara ini apabila siap pada 2027, dengan jumlah keseluruhan kawasan boleh disewa bersih lebih 66,890 meter persegi.

 

Pengerusi Aeon Co, Datuk Iskandar Sarudin berkata peluasan itu adalah sebahagian daripada komitmen kumpulan itu memenuhi gaya hidup dan keperluan ekonomi penduduk Seremban yang semakin pesat.

 

“Pusat beli-belah Seremban 2 yang sebelum ini dikenali Jusco dan dibuka pada 2005, merupakan premis kesembilan kami ketika itu dan hari ini kami sudah memiliki 28 pusat membeli-belah di Malaysia.

 

"Kami tidak mahu orang ramai datang hanya untuk membelanjakan wang tetapi memastikan mereka mampu berbuat demikian dalam persekitaran kondusif untuk pengalaman membeli-belah yang baik," katanya.

 

Iskandar menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut dihadiri Pengarah Urusan Aeon, Naoya Okada.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, Aeon Co sentiasa menaik taraf pusat beli-belahnya untuk bersaing dalam landskap runcit yang berubah-ubah dan menawarkan pengalaman runcit unik kepada pelanggan.

 

Kawasan yang diperluaskan itu, dibina empat tingkat di tapak seluas 9.3 hektar bersebelahan lokasi sedia ada dan mempunyai lebih 2,000 tempat letak kereta termasuk untuk golongan berkeperluan khas.

 

Terdapat juga 530 petak parkir motosikal serta stesen pengecas kenderaan elektrik dengan ia direka bentuk moden menggabungkan budaya tempatan selain susun atur dengan konsep 'kedai-main-santai'.

 

“Kami juga akan menawarkan kawasan peruncitan dengan elemen terbuka serta ada ruang khusus untuk mereka yang datang bersama-sama ahli keluarga dapat menikmati masa berkualiti,” kata Iskandar.

 

Selain pasar raya Aeon, perkhidmatan makanan dan minuman, rangkaian farmasi, kompleks itu juga menempatkan kedai elektrik, fesyen, aksesori dan barang kemas, pusat sukan, pawagam dan boling.

 

Dalam pada itu, Aeon terus mengukuhkan jejak runcitnya dengan pembukaan kedai ke-35 di Setia Alam, bersama-sama pembukaan Aeon Wellness dan Daiso di Galeri Beli-belah Bloomsvale di Kuala Lumpur.

 

Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan berkata, Aeon MaxValu Desa ParkCity dan Aeon Bandar Puchong juga telah dinaik taraf untuk meningkatkan pengalaman para pelanggan serta penawaran banyak kedai.

 

"Pada tahun ini, Aeon Mall Ipoh Station 18 dibuka semula dengan penampilan yang segar, mencerminkan komitmen berterusan Aeon untuk menggiatkan semula ruang peruncitannya," kata Aeon.

 

Usaha juga dijalankan bagi meremajakan beberapa pusat beli-belah utama, termasuk Aeon Mall Shah Alam, Aeon Mall Bukit Indah, Aeon Mall Bandaraya Melaka, dan Aeon Mall Kinta City. - DagangNews.com