Syarikat Malaysia berisiko keluar dari Indonesia berikutan tindakan rampas ladang - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat Malaysia berisiko keluar dari Indonesia berikutan tindakan rampas ladang - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Julai — Tindakan keras Indonesia merampas ladang sawit berisiko menyebabkan syarikat-syarikat Malaysia mungkin keluar dari negara itu, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah penguatkuasaan secara besar-besaran yang dilaksanakan pemerintah republik itu juga mengakibatkan banyak syarikat berkenaan mengurangkan operasi mereka.

 

Tambahnya, berdasarkan semakan firma itu, beberapa syarikat perladangan telah bertindak menyerahkan sendiri tanah tersebut kepada pihak berkuasa Indonesia untuk mengelak dikenakan hukuman lebih berat.

 

"Tanah ladang diserahkan setiap syarikat berkenaan masing-masing seluas antara 1,000 hektar hingga 6,000 hektar, yang sebahagiannya berada keadaan tidak produktif," kata PublicInvest dalam nota kajiannya.

 

Minggu lalu, pasukan petugas perhutanan Indonesia memindahkan kira-kira 400,000 hektar ladang kelapa sawit dirampas kepada syarikat milik kerajaan, Agrinas Palm Nusantara, yang baru sahaja ditubuhkan.

 

Ia meliputi Wilayah Sumatera Utara dan Selatan serta Kalimantan Tengah dan Riau yang dikendalikan oleh sejumlah 232 syarikat dengan operasi itu diketuai Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia.

 

Mengulas lanjut, PublicInvest berkata, pasukan petugas republik itu menyasarkan untuk mengambil alih sejumlah tiga juta hektar ladang yang diuruskan secara haram di kawasan hutan menjelang Ogos 2025.

 

"Setakat ini, kami difahamkan kawasan perladangan di bawah Kumpulan Agrinas berjumlah 833,000 hektar, menjadikan syarikat itu sebagai salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia," katanya.

 

Sekiranya tindakan itu berterusan, firma berkenaan menjangka pelaburan dalam aktiviti penanaman semula juga lebih berhati-hati, kerana ia boleh menjejaskan kepentingan syarikat-syarikat Malaysia.

 

Selain itu, ia bimbang trend penurunan pengeluaran sawit Indonesia bertambah buruk kerana keupayaan kerajaan Indonesia menguruskan sendiri ladang yang dirampas tersebut secara berkesan amat diragui.

 

Agrinas tidak mempunyai pengalaman luas dalam sektor perladangan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Malaysia yang pengurusannya sudah terkenal amat sistematik dan profesional.

 

"Berdasarkan ramalan kami, jika 50 peratus daripada keseluruhan ladang yang dirampas kekal tidak produktif, pengeluaran minyak sawit tahunan Indonesia boleh jatuh 4 peratus atau 1.7 tan," kata PublicInvest.

 

Bagaimanapun tambahnya, kesan negatif ke atas pendapatan syarikat-syarikat Malaysia masih belum ketara dan ia mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas prospek sektor berkenaan. - DagangNews.com