Syarikat cip di Malaysia gantung pelaburan kerana bimbang isu tarif AS, kata MSIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat cip di Malaysia gantung pelaburan kerana bimbang isu tarif AS, kata MSIA

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Banyak syarikat cip di Malaysia menggantung pelaburan kerana bimbang mengenai kesan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

 

Presidennya, Wong Siew Hai berkata, sebahagian besar dari kalangan mereka turut menghentikan usaha pengembangan perniagaan untuk menunggu penjelasan isu itu dan berharap ada perkembangan positif.

 

Ini katanya, termasuk pengecualian semikonduktor daripada tarif selepas 1 Ogos 2025 apabila semua produk diimport dari Malaysia ke pasaran AS dikenakan levi yang lebih tinggi sebanyak 25 peratus.

 

"Sekiranya masih ada kelonggaran diberikan, maka saya fikir pelaburan akan diteruskan, namun buat masa ini, semua orang sedang menunggu untuk melihat bagaimana kesudahannya berlaku," kata beliau.

 

Donald Trump tambah Siew Hai, dilaporkan pada 7 Julai 2025 sedang menimbang tarif selanjutnya ke atas industri terpilih, termasuk semikonduktor setelah mengumumkan peningkatan levi untuk Malaysia.

 

Pada 1 April 2025, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, sebelum AS mengumumkan jeda 90 hari, dan mengenakan levi 10 peratus untuk memudahkan proses perbincangan rayuan pelbagai negara.

 

AS merupakan pasaran ketiga terbesar Malaysia untuk eksport semikonduktor pada 2024 dan negara ini turut membentuk kira-kira satu persepuluh daripada perniagaan jualan semikonduktor antarabangsa.

 

Mengulas lanjut, Siew Hai berkata, industri itu sudah menyaksikan sedikit peningkatan dalam kos perniagaan selepas dikenakan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025.

 

Kebanyakan firma melihat impak lebih besar daripada pelaksanaan cukai itu dan meskipun kesannya tidak dapat dirasai, beliau berkata, ia adalah sesuatu yang perlu ditempuhi semua pemain industri.

 

“Syarikat Malaysia perlu menggandakan peningkatan produktiviti melalui AI (kecerdasan buatan), peralihan kepada teknologi automasi, robotik dan menjadi kompetitif di peringkat global,” katanya.

 

Pihak berkuasa pula tambah Siew Hai, pada 2024 bersedia memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion untuk menyokong industri semikonduktor agar terus dapat bersaing di pasaran seluruh dunia.

 

Kerajaan turut berusaha aktif dengan meningkatkan peranan sektor itu apabila berlaku ketegangan perdagangan antara AS dan China sejak April 2025 yang menjejaskan teruk rantaian bekalan global.

 

Industri semikonduktor di Malaysia menyasarkan untuk menggandakan eksportnya kepada RM1.2 trilion menjelang 2030, dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeksport cip keenam terbesar di dunia.

 

Malaysia adalah tuan rumah beberapa kemudahan cip untuk Intel Corp, GlobalFoundries Inc dan Infineon Technologies AG, menjadikannya hab serantau utama dalam rantaian dunia. - DagangNews.com