KUALA LUMPUR 2 Julai - Suria Capital Holdings Bhd mengesahkan pengarah bukan bebas bukan eksekutifnya, Datuk Dr Yusof Yacob didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas tuduhan menerima rasuah.
Kumpulan itu berkata, memandangkan kesalahan itu tidak berkaitan dengan perniagaan atau operasi Suria Capital, lembaga pengarah memutuskan untuk membenarkan beliau menjalankan tugas seperti biasa.
Katanya, beliau juga dinasihatkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
"Tiada penggantungan atau pelantikan sementara dibuat pada peringkat ini, sementara menunggu perkembangan undang-undang selanjutnya dan nasihat profesional.
"Syarikat terus menilai tahap kekukuhan rangka kerja tadbir urus korporat dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan keyakinan berterusan dalam kalangan pemegang kepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah Suria Capital didakwa atas kes rasuah, tetapi bukan berkaitan dengan operasi syarikat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan pertuduhan terhadap Yusof berhubung transaksi kewangan yang didakwa berlaku pada 6 Mac 2023.
Kejadian yang didakwa melibatkan penerimaan rasuah sebanyak RM200,000 berkaitan dengan permohonan lesen penerokaan mineral.
Yusof telah didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 atas dakwaan menerima rasuah yang jika didapati bersalah akan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang didakwa atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Turut didakwa dalam kes tersebut ialah ADUN Tanjung Batu yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy didakwa menerima RM150,000; dan Datuk Albert Tei, yang didakwa menawarkan rasuah kepada kedua-dua wakil rakyat tersebut.
Albert sebelum ini pernah dinamakan dalam laporan media sebagai ahli perniagaan di sebalik beberapa siri video yang mengaitkan tokoh politik dengan dakwaan rasuah, sebahagian daripadanya diterbitkan oleh Malaysiakini dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.- DagangNews.com








