Pengarah Suria Capital didakwa atas kes rasuah, tetapi bukan berkaitan dengan operasi syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengarah Suria Capital didakwa atas kes rasuah, tetapi bukan berkaitan dengan operasi syarikat

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pemilik dan pengendali lapan pelabuhan di Sabah, Suria Capital Holdings Bhd mengesahkan, salah seorang pengarahnya didakwa kerana menerima rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

 

Kumpulan itu menjelaskan, pertuduhan tersebut tidak berkaitan dengan operasi perniagaan atau kewangan syarikat.

 

Suria Capital dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia tidak menamakan pengarah tersebut namun terdapat beberapa media mendakwa individu yang terlibat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang juga merupakan pengarah bukan bebas, bukan eksekutif di syarikat itu.

 

"Selepas menilai perkara ini, lembaga berpendapat, kesalahan yang didakwa ini tidak berkaitan dengan syarikat dan oleh itu tidak memberi sebarang impak kewangan yang material kepada syarikat,” katanya, lapor The Edge.

 

Suria Capital menghentikan dagangan sahamnya pada pukul 4.02 petang susulan pengumuman tersebut dan dagangan akan disambung semula pada 2 Julai 2025.

 

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, Yusof boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

 

Menurut laporan media, Yusof didakwa menerima wang tunai sebanyak RM200,000 daripada Datuk Albert Tei di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023 sekitar pukul 2 petang. 

 

Pembayaran itu didakwa sebagai balasan untuk membantu kelulusan lesen penerokaan mineral bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

 

Turut didakwa dalam kes tersebut ialah ADUN Tanjung Batu yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy didakwa menerima RM150,000; dan Albert, yang didakwa menawarkan rasuah kepada kedua-dua wakil rakyat tersebut.

 

Ketiga-tiga individu dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu. Hakim Jason juga menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes.

 

Kedua-dua ahli politik tersebut dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 setiap seorang (dengan RM10,000 dibayar) dengan seorang penjamin tempatan. 

 

Sementara itu, Albert dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM60,000 (dengan RM15,000 dibayar). Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan, dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

 

Albert sebelum ini pernah dinamakan dalam laporan media sebagai ahli perniagaan di sebalik beberapa siri video yang mengaitkan tokoh politik dengan dakwaan rasuah, sebahagian daripadanya diterbitkan oleh Malaysiakini dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.

 

Saham Suria Capital kali terakhir diniagakan pada harga empat sen atau 2.38% lebih rendah kepada RM1.64, menjadikan modal pasaran syarikat sebanyak RM580.98 juta. Sejak awal tahun ini, saham tersebut telah merosot lebih daripada 10%. - DagangNews.com