KUALA LUMPUR 13 Mei – Pengendali pelabuhan, Suria Capital Holdings Bhd merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya secara rasmi ke dalam sektor tenaga selepas dipilih membangunkan loji janakuasa gas berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kimanis, Sabah.
Syarikat itu akan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi cadangan diversifikasi tersebut yang dijangka membuka sumber pendapatan baharu kepada kumpulan dalam tempoh jangka panjang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Suria Capital berkata segmen tenaga mampu menyumbang sekurang-kurangnya 25% kepada keuntungan bersih syarikat pada masa hadapan.
“Diversifikasi itu meliputi aktiviti penjanaan kuasa, penghantaran tenaga serta pembangunan rangkaian pengedaran elektrik.
“Projek loji janakuasa gas itu akan dibangunkan menerusi usaha sama antara anak syarikat Suria Capital, SCHB Engineering Services Sdn Bhd dan syarikat pelaburan milik Yayasan Sabah, Innoprise Corp Sdn Bhd,” katanya dalam makluman itu.
Kedua-dua pihak telah menubuhkan syarikat usaha sama dikenali sebagai Suria Powergen 1 Sdn Bhd bagi melaksanakan pembangunan projek tersebut.
SCHB Engineering memegang 70% kepentingan dalam syarikat usaha sama itu manakala baki 30% dimiliki NRG Consortium (Sabah) Sdn Bhd, anak syarikat kepada Innoprise Corp.
Suruhanjaya Tenaga Sabah telah memilih konsortium berkenaan untuk membangunkan loji janakuasa gas peaking 100MW itu menerusi surat pemberitahuan bertarikh 5 Mei lalu.
Perjanjian pemegang saham turut dimeterai antara SCHB Engineering, NRG Consortium dan Suria Powergen 1 pada 12 Mei bagi mengawal selia hubungan serta tanggungjawab setiap pihak dalam usaha sama tersebut.
Kos keseluruhan projek itu dianggarkan mencecah RM938.6 juta dengan sebahagian besar pembiayaan akan diperoleh menerusi pinjaman berjumlah RM750 juta.
Baki pembiayaan pula akan disumbangkan melalui suntikan ekuiti oleh kedua-dua rakan usaha sama, termasuk RM132.02 juta daripada SCHB Engineering dan RM56.58 juta daripada NRG Consortium.
Loji janakuasa itu dijangka memulakan operasi komersial pada suku keempat 2028 dan akan membekalkan elektrik kepada Sabah Electricity Sdn Bhd menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun.
Menurut Suria Capital, perjanjian PPA itu dijangka dimeterai selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026 dengan Sabah Electricity atau pembeli tunggal yang akan dikenal pasti oleh pihak berkuasa berkaitan.
Suria Capital dan Innoprise Corp juga mempunyai pemegang saham utama yang sama iaitu kerajaan negeri Sabah.
Suria Capital dimiliki sebanyak 45.4% oleh cabang pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Bhd manakala Yayasan Sabah pula memiliki 97.6% kepentingan dalam NRG menerusi Innoprise Corp.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa cadangan usaha sama berkenaan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam satu mesyuarat agung luar biasa yang akan diumumkan kemudian.
Pada masa sama, penasihat bebas akan dilantik untuk menasihati pemegang saham serta pengarah yang tidak berkepentingan mengenai sama ada cadangan usaha sama itu adalah adil dan munasabah.
Setakat rehat tengah hari dagangan, saham Suria Capital kekal tidak berubah pada RM1.30 sesaham dengan nilai pasaran syarikat sekitar RM449.57 juta. - DagangNews.com








