KUALA LUMPUR 4 Feb - Sunway REIT Management Sdn Bhd, pengurus bagi Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM524.75 juta untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), berbanding RM338.19 juta pada 2023.
Pendapatan untuk FY2024 meningkat kepada RM767.14 juta berbanding RM715.68 juta pada FY2023.
Sunway REIT berkata, pertumbuhan kukuh itu didorong terutamanya oleh sumbangan daripada sembilan hartanah baharu yang diperoleh sepanjang tahun, serta prestasi cemerlang dalam sektor runcit dan hotel, disokong oleh keputusan stabil dari segmen lain.
Ia turut mencadangkan pengagihan setiap unit (DPU) sebanyak 5.34 sen untuk separuh kedua FY2024, menjadikan jumlah keseluruhan DPU sebanyak 10 sen untuk tahun kewangan penuh.
"Selain itu, harga saham Sunway REIT meningkat sebanyak 31 sen atau 20.1 peratus kepada RM1.85 pada akhir FY2024 berbanding RM1.54 pada akhir FY2023.
"Berdasarkan RM1.85, jumlah DPU sebanyak 10 sen mencatatkan hasil pengagihan sebanyak 5.4 peratus dan pulangan keseluruhan sebanyak 25.5 peratus kepada pemegang unit bagi FY2024," menurutnya dalam pemfailan yang dibuat dengan Bursa Malaysia, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Sunway REIT, Clement Chen berkata, DPU yang lebih tinggi itu disokong oleh pendapatan hartanah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM569.7 juta, didorong oleh pemerolehan baharu oleh pengurus serta inisiatif penambahbaikan aset (AEI) sedia ada.
"Semua pemerolehan ini memberi hasil tambahan kepada portfolio Sunway REIT dan dijangka dapat meningkatkan prestasi dan DPU pada 2025.
"Selain itu, penstrukturan semula kawasan Oasis di Sunway Pyramid Mall, yang dibuka semula pada 1 November 2024, juga dijangka menyokong pertumbuhan kami," katanya.
Chen berkata, Sunway REIT menjangkakan tahun kewangan 2025 akan lebih baik hasil daripada pembelian hartanah dan penambahbaikan yang telah dibuat.
"Sektor utama kami iaitu runcit dan hospitaliti juga dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam dan peningkatan ketibaan pelancong yang berterusan.
"Pada masa yang sama, kami akan terus memantau secara aktif peluang pemerolehan di pasaran, terutamanya dalam segmen runcit, industri dan perkhidmatan untuk menambah pemerolehan seperti AEON Sri Manjung Mall yang baru sahaja diumumkan," ujarnya. - DagangNews.com








