Sunway Property mulakan projek Sunway Lakehills bernilai RM1.1 bilion di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Property mulakan projek Sunway Lakehills bernilai RM1.1 bilion di Johor Bahru

GERARD Soosay (tiga dari kiri) bergambar dengan barisan pasukan projek ketika upacara pecah tanah Sunway LakeHills di Johor Bahru, Johor. - Foto ihsan Sunway Property
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Julai - Sunway Property memulakan pembinaan projek pembangunan kediaman bertingkat ikonik di Sunway LakeHills, bernilai kira-kira RM1.1 bilion di Taman Molek, Johor Bahru, Johor.

 

Bahagian hartanah Sunway Group itu berkata, ia terletak di kawasan seluas 35.6 hektar di kawasan yang dikenali sebagai Sunway Lenang Heights dan menghadap taman tasik berkeluasan 12.14 hektar.

 

Pembangunan baharu tersebut katanya, menandakan peralihan daripada kediaman bertanah kepada gaya hidup resort bertingkat dalam kawasan pegangan bebas yang serba eksklusif di negeri berkenaan.

 

"Ibarat permata, Sunway LakeHills menggabungkan ketenangan tepi tasik dengan pemandangan panorama 360 darjah tanpa halangan berlatarkan bandar Johor Bahru," kata Sunway Property dalam kenyataan.

 

Tambahnya, perumahan tersebut juga bersebelahan dengan padang golf manakala taman tasik berkembar, telah dinaik taraf secara bersama oleh Sunway Property dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Kawasan hijau itu katanya, dilengkapi laluan pejalan kaki, trek joging, gelanggang bola keranjang dan taman permainan, serta mengukuhkan peranannya sebagai hab gaya hidup meriah di Taman Molek.

 

Sunway LakeHills tambah Sunway Property, turut membawa pelan induk hartanah kepada tahap baharu, dengan menetapkan penanda aras terkini untuk projek kediaman mewah di hab kewangan Johor Bahru.

 

"Setakat ini, 88 peratus daripada Sunway Lenang Heights siap dibangunkan dengan Sunway LakeHills yang terletak di perkarangannya melambangkan kesinambungan momentum kami di Johor," katanya.

 

Upacara pecah tanah projek tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Selatan), Gerard Soosay dan turut disaksikan ramai penggerak pasukan projek itu.

 

Pembangunan terkini itu tambahnya, turut memperkukuhkan portfolio strategik Sunway Group di Johor, termasuk pembangunan bercampur dikenali Sunway Majestic yang bernilai RM4 bilion di Yahya Awal.

 

Pemaju berkenaan turut terlibat dalam projek Transit-Oriented Development (TOD) Bukit Chagar yang bernilai RM2.6 bilion dengan semua pelaburan utama ini terus mengukuhkan kehadirannya di Johor.

 

“Kami terus aktif dengan pelbagai projek di koridor pertumbuhan utama dari pusat bandar raya Johor Bahru sehingga ke Link Kedua melalui Sunway City di kawasan Iskandar Puteri,” kata Gerard.

 

Tambahnya, lokasi projek juga berdekatan pintu masuk utama ke Malaysia, iaitu dari Johor Bahru dan Tambak Johor, hingga ke Link Kedua yang berkeluasan 809.37 hektar. - DagangNews.com