KUALA LUMPUR 21 Jan – Lembaga Pengarah Sunway Berhad menjelaskan cadangan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Berhad sedang diteruskan mengikut rangka kerja peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, cadangan tawaran itu dilaksanakan selaras dengan Peraturan-Peraturan mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pemerolehan Wajib.
Bagaimanapun, kumpulan itu menjelaskan pelaksanaan cadangan tawaran tersebut masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunway, yang akan dipohon menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
"Lembaga Pengarah Sunway ingin menjelaskan bahawa Cadangan Tawaran tersebut sedang diteruskan selaras dengan Peraturan-Peraturan mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pemerolehan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Cadangan Tawaran itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunway yang akan dipohon pada mesyuarat agung luar biasa Sunway yang akan diadakan kelak," kata kenyataan itu.
Sunway sebelum ini mengumumkan cadangan untuk mengambil alih kesemua saham biasa IJM pada harga RM3.15 sesaham, satu langkah strategik yang dilihat berpotensi memperkukuh kedudukan kumpulan dalam sektor pembinaan, infrastruktur dan pembangunan hartanah.
Sekiranya mendapat kelulusan, cadangan pengambilalihan itu dijangka membuka ruang kepada sinergi operasi dan kewangan antara kedua-dua kumpulan, selain memberi nilai tambah jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com








