KUALA LUMPUR 10 Feb – Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH) memeterai perjanjian taja jamin dengan enam bank pelaburan utama bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Perjanjian itu dimeterai bersama Maybank Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, Affin Hwang Investment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan Kenanga Investment Bank Berhad.
SHH menjangkakan untuk melancarkan prospektusnya pada suku pertama 2026, selaras dengan perancangan penyenaraian yang dijangka menjadi antara IPO sektor penjagaan kesihatan terbesar di Malaysia dalam tempoh terdekat.
Melalui anak-anak syarikatnya yang beroperasi di bawah jenama Sunway Healthcare Group, SHH merupakan antara penyedia penjagaan kesihatan swasta bersepadu terkemuka di negara ini dengan jumlah 1,805 katil setakat Januari 2026.
Rangkaian kumpulan itu diterajui oleh Sunway Medical Centre di Sunway City Kuala Lumpur, hospital swasta terbesar di Malaysia dengan 848 katil serta menawarkan kira-kira 80 kepakaran dan subkepakaran perubatan.
Selain itu, SHH turut mengendalikan beberapa hospital tertiari dan pusat rawatan ambulatori di seluruh negara.
IPO SHH akan melibatkan sehingga 1.969 bilion saham biasa, merangkumi tawaran jualan saham sedia ada dan terbitan saham baharu.
Tawaran itu dibahagikan kepada penempatan kepada pelabur institusi dan tawaran runcit kepada orang awam.
Daripada jumlah tersebut, sehingga 1.624 bilion saham diperuntukkan kepada pelabur institusi, mewakili sekitar 14.1 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat, manakala 345 juta saham lagi atau kira-kira 3.0 peratus diperuntukkan kepada pelabur runcit.
Pengurusan SHH berkata, hasil IPO akan digunakan untuk menyokong pengembangan hospital sedia ada serta membolehkan kumpulan melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang dengan lebih fleksibel dan berdaya saing.
Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata sokongan enam institusi kewangan itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap hala tuju dan kekuatan operasi kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi secara mampan.
Sementara itu, bank-bank pelaburan terlibat berpandangan prospek SHH disokong oleh permintaan penjagaan kesihatan yang berdaya tahan, populasi rakyat yang semakin menua serta peluang pertumbuhan daripada sektor pelancongan perubatan, khususnya apabila 2026 diiktiraf sebagai Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia.
Dalam jangka panjang, SHH menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti keseluruhan rangkaian hospitalnya kepada lebih 3,400 katil menjelang 2032 melalui pembinaan hospital baharu di beberapa lokasi strategik termasuk Seremban, Putrajaya dan Iskandar Puteri, Johor. - DagangNews.com








