KUALA LUMPUR 21 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap seorang kakitangan Sunway Construction Group Berhad.
Kumpulan pembinaan tersebut mengesahkan siasatan berkenaan adalah secara khusus berhubung kes penglibatan pekerja itu sendiri dengan subkontraktor yang tertentu.
Ia turut menjelaskan bahawa proses siasatan terpencil berkenaan tidak melibatkan cara kumpulan tersebut dalam memperoleh apa-apa kontrak daripada pelanggannya.
"Siasatan ini tidak mempunyai sebarang kesan kewangan dan operasi ke atas kumpulan," kata Sunway Construction dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut kenyataan berkenaan, kumpulan tersebut tidak akan memberi apa-apa ulasan lanjut kerana siasatan itu terletak di bawah bidang kuasa SPRM sendiri.
Bagaimanapun ia bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM, dan sedang mendapatkan peguam untuk menilai tindakan sewajarnya yang perlu diambil ke atas pihak terlibat.
Selain itu Sunway Construction mengesahkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian integriti dan ketelusan tertinggi di seluruh operasi kumpulan.
"Kami juga masih lagi mengekalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah, penyelewengan, dan sebarang amalan yang menjejaskan tingkah laku beretika," tambahnya.
Harga saham firma pembinaan tersebut dilaporkan jatuh sebanyak 17.56 peratus atau RM1.05 dalam dagangan sebelah pagi kepada RM4.93 sesaham.
Bursa Malaysia mengumumkan jualan pendek saham Sunway Construction digantung untuk baki hari berikutan kejatuhan lebih 15 peratus dalam nilai sahamnya.
Saham syarikat induknya, Sunway Berhad pula susut 21 sen atau 4.15 peratus kepada RM4.85 sebelum waktu rehat tengah hari. - DagangNews.com








