KUALA LUMPUR 17 Jun - Sunway Construction Group Berhad diyakini melepasi sasaran awal penambahan kontrak baharu antara RM4.5 bilion hingga RM6 bilion pada 2025, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, sehingga kini kumpulan itu berjaya memperoleh kontrak bernilai RM3.5 bilion dan pada masa sama berharap untuk meraih satu lagi projek pusat data bernilai sehingga RM1.2 bilion pada suku ketiga tahun ini selain satu lagi projek dengan nilai yang sama tidak lama selepas itu.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga dijangka memperoleh projek dalaman daripada Sunway bagi pembinaan Sunway Medical Centre Putrajaya dan Sunway Medical Iskandar Puteri.
"Ditambah dengan beberapa projek kecil yang lain, kumpulan itu menyasarkan untuk menutup tahun kewangan 2025 (FY25) dengan kontrak baharu bernilai RM8 bilion," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, selain Pearl Computing, difahamkan Sunway Construction sedang berbincang dengan tiga syarikat lain untuk membina pusat data, termasuk satu syarikat tersenarai di Nasdaq, Amerika Syarikat (AS) yang berada di peringkat rundingan lanjutan, dengan nilai kontrak dianggarkan sehingga RM1.2 bilion.
Katanya, terdapat juga peluang untuk meningkatkan skala projek bernilai RM1.2 bilion yang baru-baru ini diperoleh daripada sebuah syarikat gergasi e-dagang.
Firma penyelidikan itu berkata, Sunway merancang untuk melancarkan Sunway Medical Centre Putrajaya dan Sunway Medical Iskandar Puteri tahun ini, masing-masing dengan kapasiti 300 katil.
Dengan andaian perbelanjaan modal (capex) sehingga RM1.6 juta bagi setiap katil, setiap hospital boleh menjana kontrak bernilai kira-kira RM500 juta.
"Bagi jangka masa panjang, Sunway Construction dijangka memperoleh lebih banyak projek dalaman daripada Sunway untuk pembangunan berorientasikan transit (TOD) Rapid Transit System (RTS) (GDV: RM2.6 bilion) dan Seremban Sentral (GDV: RM2.2 bilion)," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM6.72 sesaham. - DagangNews.com








