Sunway berkemungkinan besar terima rangsangan ketara daripada tawaran penukaran status tanah Medini, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway berkemungkinan besar terima rangsangan ketara daripada tawaran penukaran status tanah Medini, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Cadangan penukaran tanah skim pajakan swasta kepada status pegangan bebas di Medini Iskandar, Johor, bakal melonjakkan nilai tanah dan nilai pembangunan kasar Sunway Bhd dengan ketara, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, Maple Residence, milik syarikat itu menjual 25% tanah itu kepada projek Aviana di bawah skim pajakan persendirian. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia boleh dikaitkan dengan nilai yang dibawa status tanah kepada harga hartanah dan persepsi pasaran.

 

"Sunway akan mendapat manfaat yang besar daripada pembangunan ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, Iskandar Investment Bhd, pemilik tanah Medini Iskandar seluas 902.4 hektar, mengeluarkan surat tawaran kepada pembeli hartanah di Medini, memberikan pilihan untuk menukar hartanah skim pajakan persendirian kepada pegangan bebas untuk premium.

 

Di bawah skim pajakan persendirian itu, pemilik tanah memajakkan tanah kepada pemaju untuk tempoh tetap. Pembeli rumah adalah pemajak kedua di bawah skim itu.

 

Premium untuk penukaran ialah RM8 bagi setiap keluasan lantai kasar untuk tanah yang belum dibangunkan, dan RM10,000 seunit untuk hartanah siap.

 

Sunway memegang pajakan seluas 279.6 hektar di Medini Iskandar melalui usaha sama dengan Khazanah Nasional Bhd, dengan baki tanah berkesan seluas 52.6 hektar dan nilai pembangunan kasar RM6.2 bilion.

 

Tanah itu merupakan sebahagian daripada Sunway City Iskandar Puteri, seluas 716.3 hektar dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan meningkatkan daya tarikannya dengan ketara, kata HLIB.

 

"Ia dilaksanakan pada masa yang sesuai," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com