Sunview berada di kedudukan terbaik manfaatkan pertumbuhan sektor RE, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview berada di kedudukan terbaik manfaatkan pertumbuhan sektor RE, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Sunview Group Bhd berada di kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) yang didorong peningkatan permintaan solar atas bumbung.

 

Selain itu, ia juga disokong oleh pelaksaan berterusan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu merupakan antara penerima manfaat utama bagi prospek EPCC di bawah fasa kelima inisiatif solar berskala besar kerajaan (LSS5), skim solar berskala besar yang akan datang, serta potensi pertumbuhan RE jangka panjang menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

 

“Kami menjangkakan projek EPCC LSS5, yang sedang dianugerahkan secara berperingkat, akan membantu dalam penambahan semula buku pesanan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang giat membida kerja-kerja EPCC, dengan jumlah tender bernilai RM4 bilion.

 

Ia merangkumi RM1.7 bilion bagi kerja-kerja LSS, RM1.3 bilion untuk Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), RM734 juta bagi projek solar atas bumbung dan RM264 juta dalam projek CGPP.

 

“Kami optimis terhadap prospek penambahan semula pada masa hadapan, dengan kerja-kerja EPCC berskala besar yang bakal datang daripada LSS5 serta LSS5+ dan LSS6, selain minat yang tinggi terhadap solar atas bumbung dalam kalangan segmen komersial, perindustrian dan kediaman,” katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan “beli” terhadap Sunview, dengan harga sasaran tidak berubah pada 54 sen.

 

Katanya, syarikat tersebut kini memiliki tiga projek EPCC CGPP, dengan nilai kontrak terkumpul sebanyak RM248 juta.

 

Daripada jumlah itu, satu kontrak telah mencapai 70% siap, manakala dua lagi masing-masing berada pada tahap 10% dan 15% siap.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya sebelum ini menganggarkan sehingga RM17 bilion nilai kerja EPCC solar tersedia untuk pemain industri.

 

Katanya, sebagai pemaju aset, Sunview turut bersikap agresif, dengan nilai tender berjumlah RM1.8 bilion bagi projek LSS5+, sistem penyimpanan tenaga bateri dan projek CRESS.

 

Pelan pengembangan Sunview ke luar negara membuka satu lagi dimensi kepada strategi pertumbuhan syarikat menerusi cadangan pembangunan dua loji solar di Uzbekistan.- DagangNews.com