SunCon dijangka raih peningkatan kontrak pusat data, CGSI naikkan harga sasaran kepada RM7.10 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SunCon dijangka raih peningkatan kontrak pusat data, CGSI naikkan harga sasaran kepada RM7.10

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dijangka meraih manfaat daripada peningkatan penganugerahan kontrak pusat data (DC) pada separuh kedua tahun kalendar 2025 (2HCY25F) dan 2026 (CY26F), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kontraktor utama dalam segmen tersebut, kata CGS International (CGSI).

 

Firma penylidikan itu berkata, SunCon kini dalam proses membida tujuh hingga lapan tender pusat data bernilai kira-kira RM14 bilion. 

 

Daripada jumlah itu, lima tender utama melibatkan pemaju tempatan dan Pearl Computing (syarikat tidak tersenarai) dijangka akan dianugerahkan dalam masa terdekat.

 

Setakat Jun 2025, DC membentuk 49% daripada buku pesanan SunCon berjumlah RM7.9 bilion, menjadikan syarikat ini antara kontraktor paling kukuh dalam ruang pusat data. 

 

SunCon mempunyai empat pelanggan bertaraf tier-1 DC dan antara segelintir kontraktor tempatan yang pernah menyiapkan projek pusat data.

 

Berdasarkan laporan Knight Frank Malaysia pada Disember 2024, kapasiti IT masa depan di Malaysia dianggarkan mencecah 1,313 MW. 

 

Namun, terdapat kekurangan kontraktor berkemahiran tinggi untuk memenuhi potensi lonjakan kontrak, menjadikan kedudukan SunCon lebih strategik.

 

Setakat tahun kewangan 2025 (YTD FY25F), SunCon telah memenangi kontrak bernilai RM3.5 bilion dan berpotensi mencapai sasaran tertinggi RM6 bilion daripada julat sasaran RM4.5 bilion hingga RM6 bilion.

 

Sasaran Harga Dinaikkan

 

Firma penyelidikan itu juga menaik taraf penarafan SunCon kepada ‘Add’ dengan harga sasaran (TP) baharu RM7.10, menggunakan model GGM (LTG: 4.5%, COE: 8.4%, ROE: 32.7%). 

 

Unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY25F-27F turut disemak naik berikutan jangkaan kemenangan kontrak baharu berjumlah RM5.9 bilion/RM6 bilion/RM6 bilion (berbanding unjuran terdahulu RM5.2 bilion/RM4.8 bilion/RM4.8 bilion).

 

Pada paras TP baharu itu, saham SunCon diniagakan pada 25 kali P/E FY26F, sedikit di bawah +2 sisihan piawai daripada 26 kali – julat dagangan sejarah sejak FY22. 

 

Lonjakan ini dianggap wajar berikutan momentum kemenangan kontrak yang kukuh, khususnya dalam segmen pusat data yang menawarkan margin lebih tinggi dan tempoh kontrak lebih singkat.

 

Risiko penurunan termasuk kelewatan pengiktirafan hasil projek pusat data sedia ada serta kos pembinaan yang lebih tinggi. Sebaliknya, pemangkin lonjakan penilaian termasuk kemenangan pelanggan pusat data baharu dan penganugerahan projek infrastruktur kerajaan. - DagangNews.com