KUALA LUMPUR 9 Jun - Johor melangkah maju dalam membangunkan tenaga kerja masa depan melalui kerjasama strategik antara Sun Bus Tech dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang menawarkan gaji permulaan RM4,000 untuk pekerja mahir.
Melalui kerjasama itu, Sun Bus Tech menetapkan satu tahap gaji baharu yang selari dengan usaha kerajaan Johor untuk menaikkan gaji dan mengekalkan tenaga kerja tempatan, terutamanya dalam sektor pengangkutan dan pembuatan berteknologi tinggi.
Sun Bus Tech juga akan menyediakan latihan industri secara terus di tempat kerja kepada pelatih dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor, bagi menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman sebenar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh kerjasama berjaya antara pihak kerajaan dan swasta.
"Usaha Sun Bus Tech dalam menawarkan gaji menarik dan melatih pekerja amat penting untuk membantu Johor menjadi pusat pekerja mahir dan pelaburan yang kukuh," katanya seperti laporan New Straits Times.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sun Bus Tech, Shyan Phang pula berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar menaikkan gaji, tetapi juga memberi mesej positif kepada golongan belia di Malaysia.
"Kami percaya kekuatan syarikat terletak pada pekerja. Dengan kerjasama ini, kami bukan hanya tawarkan kerja, tetapi juga peluang untuk membina kerjaya yang stabil," jelasnya.
Program itu turut menyediakan bantuan yuran belajar, latihan teknikal di kilang Sun Bus Tech di Senai, serta jaminan kerja selepas tamat latihan.
Model tersebut menjadi contoh bagaimana syarikat boleh membantu mengatasi masalah kekurangan pekerja mahir di Malaysia.
Sun Bus Tech kini dikenali sebagai syarikat penting dalam bidang pengangkutan, dengan kepakaran menghasilkan badan bas berkualiti tinggi, termasuk bas elektrik.
Sejak ditubuhkan secara rasmi tahun lalu, syarikat berkenaan telah bekerjasama dengan syarikat kejuruteraan Switzerland, Carrosserie HESS AG dan membuka ibu pejabat di Senai Airport City.
Kerjasama dengan JTDC itu dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha Johor membina tenaga kerja dan industri masa depan. - DagangNews.com








