KUALA LUMPUR 26 Jun — SumiSaujana Group Berhad menerusi anak syarikatnya, SumiSaujana TCM Chemicals Sdn Bhd meraih kontrak daripada Sarawak Shell Berhad untuk Projek Rosmari dan Marjoram di Bintulu.
Kumpulan tersebut berkata, ia melibatkan kerja-kerja penyediaan bahan kimia khusus dan perkhidmatan berkaitan pembangunan gas air dalam strategik yang akan dikendalikan oleh pihak Sarawak Shell.
Tambahnya, projek baharu berkenaan turut melibatkan kepentingan penyertaan yang dipegang oleh syarikat PETRONAS Carigali Sdn Bhd, TotalEnergies Malaysia serta E&P Venture Malaysia Sdn Bhd.
"Projek berskala besar ini termasuk pembinaan kemudahan dasar laut dalam, platform luar pesisir yang dikendalikan dari jauh dan loji gas darat," kata SumiSaujana dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Di bawah kontrak itu, ia akan memberikan pakej rumusan keseluruhan yang komprehensif untuk bahan kimia khusus termasuk, penyeliaan teknikal, tenaga kerja, logistik, dan semua sumber diperlukan.
Tempoh kontrak tersebut adalah lima tahun namun SumiSaujana dalam kenyataan berkenaan tidak menyatakan secara terperinci bilakah projek itu perlu bermula dan tarikh akan disiapkan.
Kontrak ini tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih serta penggearan SumiSaujana dan anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Bagaimanapun, tender ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak dan tiada sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
"Kumpulan berusaha mengambil semua langkah perlu untuk memastikan terma dan syarat berada dalam kawalan dipenuhi tepat pada masa serta mengurangkan risiko apabila ia timbul," katanya. - DagangNews.com








