Subsidiari SD Guthrie ambil alih 48% saham ekuiti syarikat Belanda, Marvesa Supply Chain pada harga RM250 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidiari SD Guthrie ambil alih 48% saham ekuiti syarikat Belanda, Marvesa Supply Chain pada harga RM250 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb - Anak syarikat hiliran SD Guthrie Bhd, SD Guthrie International Ltd (SDGI) mengambil alih 48% saham ekuiti dalam Marvesa Supply Chain Services BV yang berpangkalan di Belanda bernilai €54 juta (RM250 juta. 

 

SDGI memperoleh saham ekuiti itu daripada firma ekuiti swasta Belanda, Parcom bagi meningkatkan keupayaan syarikat dalam membekalkan minyak dan lemak kepada industri makanan haiwan dan biofuel di Eropah. 

 

 
Pengambilalihan sejajar dengan rancangan jangka masa panjang syarikat dalam mengintegrasikan rantaian nilainya dan mengembangkan jejaknya dalam pasaran utama, kata SD Guthrie dalam satu kenyataan. 

 

Katanya, selebih 52% saham dalam Marvesa dipegang oleh BGR Beheer BV, yang dimiliki oleh Pengurusan Eksekutif semasa Marvesa.

 


Marvesa ialah salah satu jenama terkenal di pasaran Eropah, yang mengkhusus dalam penyumberan, pengadunan dan pengedaran minyak dan lemak kepada industri makanan haiwan dan biofuel.

 

Kilang penapisannya di Zwijndrecht, Belanda, mempunyai kapasiti 300,000 tan metrik setiap tahun dan kini mempunyai pelanggan di 11 negara.

 

Kilang penapisan itu menghasilkan pelbagai minyak dan lemak yang penting untuk aplikasi seperti penggorengan , pengemulsi, bahan-bahan roti dan kuih-muih, marjerin, produk tenusu, lilin dan pengganti susu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SDGI, Dr Shariman Alwani berkata, pengambilalihan ini meletakkan syarikat dalam kedudukan baik dalam memperoleh kejayaan jangka masa panjang meretasi pelbagai pasaran.  

 


“Bekerjasama dengan rakan kongsi yang berpendapat sama adalah penting dalam usaha syarikat mendahului permintaan pasaran. 

 

"Melalui kerjasama ini, syarikat dapat mengukuhkan lagi kedududkan dalam pasaran dan membina hubungan yang lebih teguh," katanya. 


 
Sementara itu, mewakili pemegang saham dalam Marvesa, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bart de Bruycker berkata, mereka berhasrtumbuhan dan kejayaan jangka panjangnya. 

 

"Perkongsian dengan SDGI ini adalah bukti kekuatan perniagaan dan visi bersama kami dalam menciptakan nilai yang mampan.

 

"Bersama-sama, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memacu pertumbuhan dan memberi nilai yang luar biasa kepada pelanggan kami di seluruh Eropah dan seterusnya,” katanya. 

 

SD Guthrie berkata kerjasama, antara SDGI dan Marvesa mewujudkan sinergi. 

 

"Jumlah dagangan Marvesa dalam lesitin, soya dan minyak lain sejajar dengan strategi kepelbagaian SDGI ke dalam sektor bukan sawit. 

 

“Ini membolehkan kedua-dua syarikat menembusi peluang pertumbuhan tinggi, termasuk di Asia Pasifik, Asia Tengah, Asia Barat, Afrika dan Amerika. 

 

Marvesa mempunyai kehadiran di Indonesia dan berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan di rantau Asia Tenggara yang mengalami permintaan tinggi untuk bahan makanan haiwan,” katanya.

 

SD Guthrie ialah salah satu pengeluar Minyak Sawit Mampan Bertauliah (CSPO) terbesar di dunia, menghasilkan kira-kira 12% daripada CSPO dunia. 

 

Ia adalah pemain bersepadu sepenuhnya dalam rantaian nilai minyak sawit global, dengan kehadiran perniagaan di 12 negara.- DagangNews.com