KUALA LUMPUR 10 Feb - Firma telekomunikasi, Reach Ten Holdings Bhd dilantik menjadi pengedar rasmi Starlink melalui anak syarikat milik penuhnya, Reach Ten Communication Sdn Bhd.
Anak syarikat milik penuh Reach Ten Holdings yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu telah menandatangani perjanjian dengan SpaceX.
Syarikat yang berpangkalan di Sarawak itu berkata, pelantikan itu memberi peluang kepada syarikat untuk menawarkan perkakasan Starlink dan perkhidmatan jalur lebar berasaskan satelit di seluruh Malaysia dan rantau ini.
"Kerjasama dengan SpaceX juga memberi kami peluang untuk menambahkan perkhidmatan kami selain daripada satelit sedia ada yang ditawarkan daripada Teleport kami di Kuching," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, perkongsian tersebut mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan jalur lebar dengan Starlink kepada baki 3% penduduk di Malaysia pada masa ini tidak mempunyai akses kepada sambungan rangkaian daratan.
"Ia akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia sehenti perkhidmatan jalur lebar satelit, menyampaikan perkhidmatan internet lancar, berdaya tahan dan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami, tanpa mengira lokasi mereka di seluruh Malaysia," katanya.
Reach Ten kini menyediakan perkhidmatan satelit jalur lebar ke lebih 1,200 lokasi di Malaysia.
Sebagai pengedar rasmi Starlink, syarikat itu dapat mengembangkan perkhidmatan satelitnya untuk meliputi sektor maritim, minyak dan gas luar pesisir serta internet kebendaan (IoT).
Dengan penambahan Starlink, Chin berkata, syarikat itu akan membantu merealisasikan aspirasi negara memwnuhi sasaran 100% liputan internet di seluruh negara melalui inisiatif seperti rancangan Jalinan Digital Negara Nasional dan inisiatif SALURAN dan SMART kerajaan Sarawak.- DagangNews.com








