KUALA LUMPUR 1 Ogos — Prospek pertumbuhan Unisem (Malaysia) Berhad dijangka mencatatkan pemulihan pada suku ketiga tahun ini berikutan struktur kos operasi kembali normal, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pengurusan kumpulan semikonduktor itu kekal yakin dengan permintaan yang mampan pada 3QFY25, dengan muatan suku ke suku (QoQ) diramal lebih tinggi.
Momentum positif berkenaan tambahnya, didorong terutama oleh operasi kilangnya di Chengdu, China masih konsisten mengekalkan penggunaan yang tinggi didorong permintaan stabil ke atas produknya.
"Kami terus menggemari saham Unisem untuk pendedahan semikonduktornya, dan menjangkakan hasil kumpulan akan melantun semula berbanding pada suku kedua," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Keyakinan tersebut tambah firma berkenaan, tidak mustahil sebaik sahaja penggunaan beberapa loji pengeluaran syarikat itu di Malaysia kembali bertambah baik dan struktur kos mula menjadi normal.
Semalam kumpulan itu mengumumkan keuntungan bersih pada 2QFY25 berakhir 30 Jun 2025 yang lebih rendah kepada RM9.13 juta berbanding sebanyak RM16.76 juta direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang enam bulan pertama 2025, Unisem mencatatkan keuntungan bersih terkumpul RM15.14 juta ke atas hasil berjumlah RM898.77 juta, daripada RM25.22 juta dan hasil RM759.36 juta pada 2024.
RHB Research berkata, walaupun mencatatkan rekod hasil tertinggi pada 2QFY25, pendapatan terasnya berada di bawah jangkaan, kesan peningkatan kos pra-operasi dan operasi Malaysia yang merugikan.
"Data menunjukkan corak hasil QoQ yang mendatar kepada tinggi, disokong permintaan berdaya tahan dalam mikrofon serta beberapa produk pelayan dan aplikasi berkaitan kenderaan elektrik," katanya.
Keadaan tersebut tambah firma itu, berikutan pemuatan pelanggan automotif telah meningkat sejak dua suku lepas dan trend ini dijangka kekal kukuh pada sepanjang tempoh enam bulan terakhir tahun ini.
Selain itu, operasi kilang-kilang Unisem di Malaysia kekal di bawah optimum, dibebani kebimbangan pelanggan tertentu terhadap isu ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat yang bermula pada hari ini.
Syarikat berkenaan katanya, namun perlu berwaspada terhadap tempahan yang lebih perlahan daripada jangkaan, teknologi usang dan pergerakan kadar mata wang asing yang mungkin tidak menguntungkan.
"Berdasarkan ramalan positif semasa, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan ini dengan harga ramalan juga tidak berubah kepada RM2.33 sesaham," kata RHB Research. - DagangNews.com








