KUALA LUMPUR 15 Dis - Inventori minyak sawit Malaysia dijangka kekal pada paras tinggi dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan eksport serta faktor pengeluaran bermusim, menurut penganalisis.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, stok minyak sawit negara meningkat untuk bulan keenam berturut-turut, melonjak 13% bulan ke bulan (m-o-m) kepada 2.84 juta tan pada November, walaupun pengeluaran susut 5.3% m-o-m kepada 1.94 juta tan.
Menurutnya lagi, peningkatan inventori tersebut didorong terutamanya oleh kejatuhan ketara eksport yang merosot 28.1% m-o-m kepada 1.21 juta tan, mengatasi kesan pengeluaran yang lebih rendah serta penggunaan domestik yang lebih kukuh.
“Keadaan ini sebahagian besarnya disebabkan ketiadaan aktiviti pengisian semula stok berasaskan musim perayaan dan permintaan yang lebih lemah secara bermusim daripada pembeli di rantau beriklim sejuk,” katanya.
Memetik perunding Intertek Services, HLIB berkata, penghantaran minyak sawit ke Afrika, Eropah dan India mencatat prestasi lemah, manakala data daripada Amspec menunjukkan eksport bagi 10 hari pertama Disember merosot lagi sebanyak 10.3% m-o-m.
Walaupun inventori berkemungkinan telah memuncak pada November, firma itu menjangkakan sebarang pengurangan stok akan berlaku secara beransur-ansur berikutan permintaan minyak sawit lazimnya lebih perlahan dalam tempoh November hingga Februari.
Dari segi harga, HLIB berkata, harga minyak sawit mentah (CPO) telah menyusut kira-kira 10% sejak akhir Oktober, dengan purata harga setakat tahun ini pada RM4,318 setan.
Firma itu mengekalkan unjuran harga CPO masing-masing pada RM4,300 setan bagi 2024 dan RM4,200 setan bagi 2025, selain mengekalkan saranan “overweight” ke atas sektor perladangan.
Pilihan utama HLIB bagi sektor tersebut ialah SD Guthrie Bhd, disokong oleh pengembangan dalam tenaga boleh diperbaharui dan hartanah perindustrian, kunci kira-kira yang semakin kukuh serta hasil dividen sekitar 3% hingga 4%.
Turut menjadi pilihan, saham Hap Seng Plantations Bhd berikutan kedudukan tunai bersih dan pendedahan yang tinggi kepada pergerakan harga CPO.
Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan stok minyak sawit Malaysia meningkat lagi 3% m-o-m kepada 2.93 juta tan pada Disember, apabila pemulihan sederhana eksport tidak mencukupi untuk mengimbangi pengeluaran.
Firma itu mengunjurkan pengeluaran menyusut 11% m-o-m kepada 1.72 juta tan dalam bulan sama, sambil menjangkakan purata harga CPO merosot 7.3% m-o-m kepada RM4,089 setan pada November.
Menurut CIMB Securities, kelemahan harga dengan harga spot sekitar RM4,029 setan mencerminkan kebimbangan terhadap mandat biodiesel Indonesia, peningkatan stok tempatan, ketidaktentuan dasar biofuel Amerika Syarikat serta sikap berhati-hati pembeli dalam persekitaran inventori tinggi.
“Paras stok yang lebih tinggi daripada jangkaan dijangka terus mengehadkan kenaikan harga CPO sehingga eksport menunjukkan peningkatan ketara atau terdapat kejelasan dasar berkaitan penggunaan biodiesel di Amerika Syarikat dan Indonesia,” katanya.
Namun, CIMB Securities berpandangan kejatuhan harga baru-baru ini telah meletakkan minyak sawit pada diskaun kecil berbanding minyak pengganti seperti minyak kacang soya, rapeseed dan bunga matahari, sekali gus berpotensi menyokong eksport.
Firma itu mengekalkan unjuran purata harga CPO pada RM4,200 setan bagi 2025 serta saranan “overweight” ke atas sektor perladangan, dengan jangkaan harga kekal disokong di atas paras RM4,000 setan susulan pengeluaran yang semakin perlahan memasuki 1Q26 akibat faktor bermusim. - DagangNews.com








