KUALA LUMPUR 9 Dis - Kerajaan akan mengekalkan struktur cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada sambil meneruskan penambahbaikan bagi memastikan rejim cukai yang lebih cekap dan berkesan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan untuk mengekalkan cukai penggunaan yang bersasar, di mana barangan dan perkhidmatan keperluan yang lazim digunakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia umumnya tidak dikenakan cukai.
“SST adalah sistem cukai yang lebih bersasar dan telah digunakan di Malaysia selama lebih 40 tahun. Ia sudah biasa kepada industri, perniagaan dan orang awam.
“Pelaksanaannya juga memberikan hasil fiskal yang lebih cepat kepada kerajaan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk C Sivaraj mengenai sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau menambah baik SST, bagi memastikan sistem cukai kekal berdaya tahan.
Hui Ying berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan segera untuk memperkenalkan semula GST kerana pendapatan isi rumah masih rendah secara umum, menjadikan cukai berasaskan luas itu lebih membebankan bagi kebanyakan rakyat.
“Kerajaan mengakui kekuatan GST. Namun, seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan GST pada peringkat ini.
“Melaksanakan semula GST akan memerlukan tempoh persediaan yang lebih panjang, mungkin sehingga dua tahun, bagi membolehkan syarikat mengemas kini sistem mereka sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Hui Ying berkata kerajaan telah menimbang pelbagai pertimbangan sebelum memutuskan pendekatan cukai paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
“Kerajaan menilai keseluruhan struktur sistem cukai semasa, potensi bidang penambahbaikan, keadaan ekonomi semasa, keperluan fiskal dan tahap hidup rakyat secara keseluruhan,” tambahnya. - BERNAMA








