KUALA LUMPUR 9 Jun - Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas dan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 akan merangkumi enam kategori baharu perkhidmatan iaitu pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perubahan tersebut turut melibatkan kadar cukai jualan yang lebih tinggi ke atas barangan mewah terpilih seperti ketam raja, cendawan trufel, minyak pati, buah-buahan import dan basikal lumba.
Bagaimanapun, barangan keperluan asas termasuk beras, gula, susu, minyak masak, ubat-ubatan dan bahan binaan asas akan terus dikecualikan di bawah kadar sifar peratus cukai jualan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Beliau berkata, semakan semula SST itu telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.
Katanya, penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.
“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.

"Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amir Hamzah berkata, melengkapi usaha Kerajaan MADANI untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambah baikan SST ini akan membolehkan penambah baikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.

"Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” katanya.
Secara amnya, semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan merangkumi perkara-perkara berikut:
- Kadar cukai jualan kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat
- Kadar cukai jualan sebanyak 5% atau 10% dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas
- Skop kenaan cukai perkhidmatan diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda, serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.

Kerajaan MADANI juga mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST.
Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025. - DagangNews.com








