KUALA LUMPUR 24 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan penelitian secara menyeluruh terhadap segala pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025.
Ia menambah, pihaknya mengambil maklum terhadap laporan itu yang telah dibentangkan di Parlimen baru-baru ini khususnya berkaitan dengan isu-isu kelemahan tatakelola dan potensi salah laku.
Katanya, SPRM sentiasa menyokong pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta akan meneliti agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilaporkan tersebut.
"Ini termasuk tindakan susulan terhadap sebarang isu yang disyaki ada unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 dan bukan hanya terhad isu tatakelola semata-mata," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu tambahnya, SPRM akan berhubung dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat serta dokumen sokongan yang berkaitan untuk tujuan siasatan.
Tindakan lanjut katanya, akan dilaksanakan segera dan SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan serta rasuah ditangani secara tegas dan telus.
Usaha itu juga kata SPRM, demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi dan seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam. - DagangNews.com








